Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ucapan takziah mula mencurah
Diterbitkan:  Jan 11, 2017 4:42 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

Ucapan takziah mula mencurah sebaik sahaja berita kematian Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem disahkan dengan media sosial menjadi medium pemimpin merakamkan ucapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah dan berkata beliau menghdairi upacara pengkebumian di Kuching, Sarawak.

"Innalillahiwainnailaihirajiun. Terima berita sedih Tan Sri Adenan Satem telah pulang ke rahmatullah. Takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Saya akan ke Sarawak untuk menziarahi jenazah.

"Jasa Allahyarham kepada negeri dan rakyat negeri Sarawak amat besar dan Malaysia kehilangan seorang pemimpin amat berwibawa. Moga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah," katanya dalam akaun Facebook.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang kini berada di Beijing untuk lawatan kerja, turut mengucapkan takziah.

"Al-Fatihah. Salam takziah kepada Puan Sri Jamilah atas pemergian Tan Sri Adenan Satem. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang beriman. Amin," katanya di Facebook.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menerusi akaun Twitter @HishammuddinH20 menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh yang amat dihormatinya.

"Hari menyedihkan buat semua terutama Sarawak. Kehilangan tokoh yg byk berjasa & amat sy hormati.

“Moga roh arwah ditempatkn di kalangan yg beriman," katanya.

Turut merakamkan ucapan taziah adalah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

“Takziah kepada Puan Sri Jamilah & keluarga & rakyat negeri Sarawak atas kembalinya ke rahmatullah Ketua Menteri TS Adenan Satem. Al Fatihah,” katanya di akaun Twitter.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut merakamkan takziah di Twitter menerusi akaun @TengkuAdnanReal.

"Salam takziah kepada ahli keluarga, sanak saudara dan rakyat Sarawak atas kembalinya ke rahmatullah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem," katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri, turut berkongsi kesedihan itu.

"Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un.. Takziah atas pemergian YAB Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Satem," katanya menerusi akaun Twitter @ismailsabri60.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi akaun Facebook menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan kepada rakyat Sarawak dan negara.

"Takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Tan Sri Adenan Satem.

“Berita ini mengejutkan kita semua, pemergian beliau amat dirasai kerana beliau seorang tokoh yang disegani dan dihormati semua pihak.

"Sesungguhnya pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar bukan saja buat rakyat Sarawak tetapi juga seluruh negara," katanya.

Ucapan takziah turut dimuat naik Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa menerusi akaun Twitter @DrAliHamsa.

"Takziah diucapkan kpd keluarga TS Adenan Satem. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan org yg soleh. Al Fatihah," katanya.

Pemimpin parti pembangkang juga tidak terkecuali dalam merakamkan ucpan takziah mereka.

Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam kenyataan bersama menyifatkan Allahyarham sebagai ahli politik yang banyak menabur bakti kepada rakyat.

“Beliau merupakan seorang tokoh federalisme yang mengangkat semangat Perjanjian Malaysia 1963, serta berjuang untuk hak rakyat Sarawak termasuk autonomi fiskal melibatkan peningkatan royalti minyak 20 peratus.

“Malah kami berpendapat pandangan beliau mengenai Sarawak dan Sabah sering selari dengan Pakatan Harapan.

“Hari ini Malaysia kehilangan seorang pemimpin yang meletakkan kepentingan rakyat di atas kepentingan peribadi,” kata mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama atas nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga adalah Ketua Menteri Pulau Pinang serta Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Adenan sangat disenangi oleh segenap lapisan rakyat Sarawak.

“Saya juga merakamkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Sarawak di atas kehilangan seorang Ketua Menteri yang sangat disenangi oleh segenap lapisan rakyat Sarawak.

“Almarhum menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dalam memperjuangkan nasib rakyat dan Negeri Sarawak semenjak mula menerajui pemerintahan negeri pada Mac 2014. Banyak perubahan positif yang telah dan sedang beliau usahakan dalam memajukan Negeri Sarawak,” katanya di laman Facebook.

Lihat Komen
ADS