Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ANALISIS Spekulasi berhubung pengganti allahyarham Tan Sri Adenan Satem sudah bermula.

Walaupun bukan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan perlu bertanding dahulu, nama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof turut disebut.

Bagaimanapun yang paling kerap meniti di bibir ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg.

“Semasa pentadbiran allahyarham Adenan, Abang Johari ialah orang kanannya.

“Adenan tunjukkan beliau suka Abang Johari gantikannya,” kata profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Faisal Hazis kepada Malaysiakini.

Beberapa lagi penganalisis, termasuk James Chin daripada Universiti Tasmania, Jeniri Amir (Univerisi Malaysia Sabah) dan Wong Chin Hua (Penang Institute) turut sependapat dengan pandangan ini.

Ini bukan kali pertama nama Abang Johari disebut-sebut sebagai pemimpin nombor satu Bumi Kenyalang.

Beliau telah lama diramal, malah sebelum Adenan dipilih ke jawatan itu secara mengejut pada Februari 2014.

Persoalannya sekarang adakah Taib akan kekal jadi halangan kepada timbalan presiden PBB itu?

“Saya syak dari balik tabir, hanya Taib akan putuskan siapa pengganti Adenan,” kata Chin.

Bagaimanapun, Jeniri merasakan perkara itu tidak harus berlaku dan Taib patut mendengar suara hari parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) – sebagai tunjang utama dalam kerajaan Sarawak.

Bagaimanapun, sebagai yang di-pertua negeri, Taib mempunyai kata putus dalam keputusan itu.

Dipercayai Taib tidak memilih Abang Johari tiga tahun lalu kerana keretakan hubungan kedua-duanya. Sama ada sejarah akan berulang, itu belum pasti.

“Jika Taib tidak mahu PBB bergoncang, dia kena pilih Abang Johari,” kata Faisal, yang tidak menolak anak didiknya Datuk Awang Tengah Ali Hassan mungkin berada dalam senarai.

Awang Tengah dikatakan telah ditawarkan jawatan itu pada 2014 tetapi menolaknya, sehingga membuatkan Taib memilih Adenan.

Bagaimanapun, pelantikan seorang naib presiden kanan PBB sebagai ketua menteri boleh memecahbelahkan parti, apabila Abang Johari dikatakan menjadi pilihan banyak pihak.

[Baca analisis penuh]

Lihat Komen
ADS