ACCCIM: China rakan strategik sangat berharga
China adalah rakan strategik sangat berharga yang membawa kepada banyak situasi menang-menang di Malaysia, kata Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM).
ACCCIM berkata komitmen pelaburan China bukan sekadar memberi rangsangan langsung kepada ekonomi negara tetapi juga meningkatkan keyakinan pelabur di Malaysia.
"Justeru, sektor awam dan swsta perlu mengambil manfaat daripada ini bagi menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing, yang seterusnya meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi," kata dewan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Presiden ACCCIM Datuk Ter Leong Yap berkata, Malaysia dan China sentiasa mengekalkan hubungan dua hala yang rapat sejak menjalin hubungan diplomatik pada 1974.
"Malahan, saling berbalas kunjungan yang kerap antara pemimpin-pemimpin utama kedua-dua negara jelas membuktikan hubungan erat ini, yang menghasilkan perdagangan dua hala bernilai kira-kira US$100 bilion, serta projek pelaburan ekonomi berskala besar baru-baru ini.
"Manfaat sosial dan ekonomi adalah jelas. Kerjasama perdagangan dan ekonomi dengan perusahaan China telah mewujudkan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan," katanya.
Beliau menegaskan banyak negara berusaha untuk menarik pelabur China dan Malaysia perlu berada di hadapan dalam persaingan dengan memanfaatkan kedudukan kita sebagai destinasi pilihan pelabur asing, terutama dari China.
"Perlu dinyatakan bahawa hubungan kukuh antara kedua-dua negara bukan hanya semata-mata dalam ekonomi," kata Ter, yang juga Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Malaysia.
Menyebut contoh, beliau berkata, empat tahun lalu semasa universiti terkemuka China Xiamen University memutuskan untuk berkembang ke luar negara, kedua-dua kerajaan China dan Malaysia memainkan peranan penting dalam penubuhan Xiamen University Malaysia (XMUM), universiti pertama China di luar dari negara itu.
"Kampus ini bukan sahaja membawa pelaburan bernilai RM1.3 bilion tetapi juga barisan ahli akademik bertaraf dunia, di mana 80 peratus daripadanya memiliki ijazah kedoktoran.
"Sasaran 10,000 pelajar menyertai XMUM yang berprestij tinggi itu bukan sahaja akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan pilihan global yang berupaya menarik bakat terbaik dari luar negara, tetapi juga menyediakan peluang kepada pelajar Malaysia mengasah kemahiran mereka kepada standard global," kata Ter.
Beliau berkata adalah salah untuk menganggap pelaburan China sebagai hanya sehala.
"Untuk berjaya di peringkat global, Malaysia perlu mengiktiraf dan merebut peluang-peluang ini, dan dalam hal ini, kita bernasib baik memiliki China sebagai rakan strategik penting," katanya.
- Bernama

