Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Armada BERSATU lapor polis, dakwa Annuar Musa kurang ajar

Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini membuat laporan polis terhadap Tan Sri Annuar Musa berkaitan dakwaan penyaluran wang Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kepada pasukan bola sepak Kelantan.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, laporan tersebut dibuat kerana mendakwa berlaku pertindihan kepentingan sekali gus tindakan yang salah.

"Saya faham keperluan untuk menaja kelab bola sepak tetapi jika kita lihat cara untuk timbang keperluan tersebut pertama ada pertindihan kepentingan.

"Jika Tan Sri Annuar Musa yang ketika itu Presiden Kafa (Persatuan Bolasepak Kelantan) dan pada masa yang sama bertindak sebagai Pengerusi MARA dan UniKL menggunakan wang yang sepatutnya digunakan untuk anak Melayu yang bijak dan cerdik tetapi wang tersebut digunakan untuk selamatkan kelab bola sepak, saya rasa ini merupakan tindakan yang salah," kata Syed Saddiq.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di perkarangan IPD Shah Alam, lewat petang ini.

Annuar telah meletak jawatan sebagai pengerusi KAFA pada November lalu tetapi masih membantu kelab itu.

Tan Sri Annuar Musa menjadi perhatian umum selepas dihentam Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui pendedahannya mendakwa Annuar 'secara paksa' menggunakan duit rakyat melalui MARA dan UniKL untuk menaja skuad TRW.

Namun ketika dihubungi Malaysiakini sebelum ini, Annuar enggan mengulas lanjut dakwaan tersebut sebaliknya hanya memberi jawapan ringkas.

"Perlukah saya balas hujah-hujah bodoh?" katanya.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, beliau tidak ada masalah untuk mana-mana pihak bertindak bagi menyelamatkan mana-mana kelab bola sepak namun janganlah menggadaikan pendidikan mahasiswa.

"Kalau nak selamatkan kelab bola sepak itu tak salah tapi janganlah sampai kita gadaikan pendidikan mahasiswa terutamanya mahasiswa Melayu dalam isu ini untuk menutup kesalahan urus tadbir Annuar," kata Syed Saddiq.

Sebaliknya, kata Syed Saddiq, rakyat Malaysia khususnya orang Melayu seharusnya mempertahankan institusi pendidikan negara sekali gus menjaga kepentingan mahasiswa.

Lihat Komen
ADS