Pemuda PAS Sarawak mencadangkan agar projek Lebuh Raya Pan Borneo ditukar nama kepada Lebuh Raya Datuk Patinggi Adenan Satem sebagai memperingati jasa besar allahyarham kepada Sarawak.

Ketua dewan itu Mohammad Arifiriazul Paijo mahu kerajaan negeri itu mempertimbangkan cadangan tersebut kerana allaharham telah membawa banyak perubahan untuk Sarawak sejak menjadi ketua menteri.

“Sebagai memperingati jasa besar allahyarham, saya mencadangkan agar kerajaan memperimbang menamakan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dinamakan sebagai Lebuh Raya Datuk Patinggi Adenan Satem,” katanya seperti dilaporkan The Borneo Post.

Katanya pemergian Adenan yang turut dikenali sebagai Tok Nan merupakan suatu kehilangan besar serta dirasai seluruh rakyat negeri itu memandangkan banyak perubahan positif dilakukan di bawah kepimpinannya.

Adenan meninggal dunia pada 11 Januari lalu ketika umur 72 tahun akibat komplikasi jantung.

Arifiriazul mewakili Pemuda PAS Sarawak mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham serta seluruh rakyat Sarawak atas pemergian beliau.