'Walau dibidas teruk, Pejabat AG tak goyah'
Pejabat Peguam Negara sejak lebih 12 bulan lalu, dihujani dengan pelbagai bidasan dan tohmahan serta persepsi berat sebelah, kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini.
Menurut beliau, terdapat juga mereka yang mempertikaikan komitmen Jabatan Peguam Negara dan berusaha untuk menegakkan pentadbiran yang adil dan cekap di negara ini.
"Tetapi seperti kata seorang bijak pandai, 'seseorang tidak boleh mengawal orang lain, tetapi dia boleh mengawal reaksi mereka!’ Cabaran ini yang diharungi oleh Pejabat Peguam Negara.
"Walaupun dibidas dengan teruk, Pejabat Peguam Negara tetap tidak goyah,” katanya.
Teks ucapan Apandi dibacakan oleh Peguam Cara Negara II Datin Paduka Zauyah Be Loth Kan pada majlis pembukaan Tahun Perundangan 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya. Apandi tidak dapat menghadiri majlis itu kerana komitmen lain, kata Zauyah.

