Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hati-hati keluar kenyataan berkaitan sekolah agama - Mahdzir
Diterbitkan:  Jan 14, 2017 3:38 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menggesa semua pihak agar lebih berhati-hati dalam memberi pandangan terhadap sistem pendidikan terutama sekolah aliran agama di negara ini.

Mahdzir berkata, jika ada pihak yang ingin mengaitkan sekolah agama sebagai ancaman kepada perpaduan, mereka perlu terlebih dahulu memahami latar belakang pendidikan agama di negara ini yang sangat panjang.

"Tidak patut menuding jari mengatakan sekolah agama ada kaitan dengan mana-mana pihak pengganas kerana semuanya di pantau rapi oleh kerajaan walaupun ia sekolah persendirian.

"Jika ada insiden yang berlaku, pihak yang mendakwa perlu spesifik dan tidak melabelkan sekolah agama secara keseluruhan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat dan Program Anak Angkat Universiti Sains Malaysia (USM), di Kampung KEDA, Pasir Putih di Kuala Nerang, hari ini.

Katanya lagi, kewujudan sekolah jenis kebangsaan (SJK) atau sekolah agama yang menggunakan bahasa ibunda adalah bukti kepelbagaian bangsa di negara ini dan ia perlu dihormati.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau mendakwa sekolah agama sebagai ancaman kepada perpaduan kaum di negara ini namun selepas mendapat kririkan beliau menarik balik kenyataan itu.

Mengulas perkara itu Mahdzir berkata sekolah agama bermula (pada zaman lampau) sebagai sekolah pondok yang menjadi medium pendidikan tidak formal bagi masyarakat Melayu mempelajari agama.

"Sekolah ini terus berkembang dan menjadi pusat pendidikan akademik berasaskan kurikulum rasmi negara malah berfungsi sebagai pusat pendidikan
akhlak dan moral serta pembangunan insan sejak puluhan tahun.

"Jadi, berhati-hatilah dalam mengeluarkan kenyataan menuduh mana-mana sekolah yang ada dalam sistem pendidikan di negara ini terbabit dalam aktviti
keganasan," katanya.

 

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS