MCA Pulau Pinang tidak akan membantah jika berlaku pertukaran atau pinjaman kerusi melibatkan parti berkenaan dengan parti komponen BN lain demi memastikan kemenangan BN di negeri itu pada pilihan raya umum ke-14.

Setiausaha Agung parti Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata MCA sangat terbuka dan menerima hakikat parti itu tidak boleh bertanding atas kekuatan sendiri dan
memerlukan kerjasama parti komponen lain.

"Kita sudah dua penggal kalah (di Pulau Pinang). Kita kena menerima hakikat kalau ada kerusi kita dan calon parti komponen lain yang lebih kuat, kita harus
iktiraf dan sokong calon itu," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Katanya perkara serupa juga akan dilakukan MCA sekiranya berasakan calon mereka lebih kuat untuk bertanding di satu-satu kawasan yang sebelum ini
ditandingi oleh parti komponen lain.

"...mungkin kita juga nak pujuk mereka (parti komponen) supaya beri peluang kepada (calon) kita (untuk bertanding)," kata Ong yang ditemui selepas
merasmikan pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kota.

Ong yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua bagaimanapun berkata setakat ini belum ada keputusan berhubung perkara itu pada peringkat pusat.

Dalam pada itu, beliau berkata MCA negeri sudah menghantar beberapa senarai calon untuk dipertimbangkan oleh pemimpin tertinggi parti dan 50 peratus
daripada mereka adalah muka baharu.

"Kami telah mengenal pasti calon berpotensi dan telah serah senarai pertama calon. Kami perlu selidik latar belakang mereka, sama ada mereka bangkrap atau
tidak, berkelakuan baik atau tidak, bebas skandal dan sebagainya.

"Selepas itu kami akan umumkan inilah calon-calon kami," katanya.

Pada pilihan raya umum 2013, MCA Pulau Pinang dibadai kekalahan teruk apabila tewas di semua 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat kerusi Parlimen yang ditandinginya di negeri itu.


-Bernama