Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua IS rakyat Malaysia terbunuh di Syria
Diterbitkan:  Jan 15, 2017 10:38 AM
Dikemaskini: 2:42 AM

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan bekas pemimpin Mujahiddin Malaysia, Zainuri Kamaruddin terbunuh dalam pertempuran di Syria semalam.

"Berdasarkan perisikan yang kami perolehi, betul (Zainuri terbunuh)," kata Ayob ringkas kepada Malaysiakini melalui aplikasi WhatsApp.

Zainuri, 50 atau digelar Abu Talha yang menyertai kumpulan militan IS di Syria adalah antara tiga rakyat Malaysia yang dilaporkan terbunuh akibat terkena bom sekitar jam 12.00 malam semalam, waktu Malaysia.

Manakala seorang ahli keluarga Zainuri yang enggan namanya disiarkan berkata, mereka dimaklumkan mengenai perkara itu daripada rakan Zainuri yang berada Syria pada kira-kira pukul 1 pagi ini.

Menurutnya, mereka yakin maklumat yang disampaikan itu adalah benar dan percaya Zainuri sudah meninggal dunia.

“Kali terakhir Zainuri menghubungi kami kira-kira seminggu lalu. Dalam perbualan terakhirnya, dia memberitahu 'sudah sampai masanya untuk dia pergi',” katanya dipetik Mingguan Malaysia.

Zainuri dipercayai ke Syria pada tahun 2014 untuk menyertai kumpulan militan IS di negara itu.

Zainuri yang merupakan Ketua Sayap IS, Unit Katibah Nusantara di negara itu dilaporkan menerusi satu rakaman video mendakwa akan melancarkan serangan di Malaysia.

Sebelum ini, beberapa rakyat Malaysia yang menyertai IS di Syria terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Bashar al-Assad di negara bergolak itu.

Antara yang terkorban ialah Muhammad Afiq Heusen Rahizat, 25, atau digelar Abu Dubais dari Kluang, Johor, Mohd. Lotfi Ariffin, 46, meninggal dunia di Hospital Hatay, Turki selepas lima hari berada dalam keadaan koma akibat terkena serangan bom pesawat dalam satu pertempuran.

Dua lagi yang maut ialah Zainan Harith, 52, atau Mat Soh juga dikenali Abu Turab yang mati dibedil kereta kebal Bashar al-Assad dan pekerja kilang, Ahmad Tarmimi Maliki, 26, yang menjadi pengebom berani mati Iraq dan Syria.

Lihat Komen
ADS