Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Larangan kapcai, sekadar cadangan - Pemuda Umno
Diterbitkan:  Jan 17, 2017 8:57 AM
Dikemaskini: 3:25 AM

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hanya mencadangkan halangan kemasukan motorsikal ke bandaraya Kuala Lumpur.

Segala cadangan dan pelaksanaan, jelas Mohd Razlan, perlulah mengambil kira pelbagai faktor dan hal-hal yang dirasakan berbangkit di mana kemungkinan bakal membebankan rakyat khususnya.

"Sekadar cadangan dan tiada dalam perancangan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Malaysia sedang berusaha menuju ke satu peringkat berstatus negara maju. Bagi merealisasikan hasrat ini, Kuala Lumpur khususnya perlu merangka dan melaksanakan pelbagai bentuk agenda pembangunan serta kemudahan yang bakal dinikmati seluruh warganya.

“Seperti yang pernah diucapkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa negara semakin menghampiri tahun 2020, Malaysia memerlukan wadah baharu bagi meneruskan perjuangan membangunkan negara ini.

“Banyak program dan rangka kerja seperti Rancangan Malaysia ke-11 dan Dasar Transformasi Nasional (DTN) dilaksanakan dalam usaha mencapai status negara maju”, katanya, memetik laporan Umno Online.

Semalam, Tengku Adnan yang popular dengan panggilan Ku Nan berkata, motosikal berkapasiti enjin kecil atau 'kapcai' mungkin dilarang memasuki Kuala Lumpur sebagai langkah mengurangkan kadar pelepasan karbon.

Kata Ku Nan, pihaknya akan melaksanakan larangan itu sekiranya harga tambang pengangkutan awam berpatutan.

"Pada waktu siang, populasi (dalam bandar) meningkat kepada antara lima dan tujuh juta kerana pekerja berulang-alik ke tempat kerja.

"Kebanyakan bandar utama tidak membenarkan penggunaan motosikal 'kapcai'," kata Ku Nan lagi.

Justeru, kata Mohd Razlan, cadangan tersebut katanya lagi hanya akan dapat dilaksanakan selepas rakyat dapat menerima dan menggunakan perkhidmatan awam secara efisyen.

“Ini termasuklah penyediaan sistem pengangkutan awam yang berjaya menghubungkan kawasan-kawasan pinggir bandar Kuala Lumpur ketika itu. Segala keputusan dan hasil kajian akan dibawa kepada mesyuarat Kabinet sebelum diputuskan.

“Apa yang paling penting adalah tambang pengangkutan awam yang dikenakan dikenakan terhadap pengguna perlulah murah dan berbaloi jika hendak dibandingkan hari ini, dan sekiranya mengambil kira semua faktor ini, ianya mungkin akan terlaksana 10 tahun sehingga 15 tahun dari sekarang”, ujarnya.

Justeru, tambahnya, cadangan yang diutarakan oleh Ku Nan tidak dijadikan bahan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk membangkitkan kebencian terhadap pemimpin dan kerajaan khususnya.

“Kita juga berharap supaya rakyat melihat jauh ke hadapan wawasan negara maju dan tidak hanya bermain dengan spekulasi yang akhirnya tidak membawa kita ke mana-mana sekalipun”, katanya lagi.

Lihat Komen
ADS