Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) Zainal Rampak terkejut dengan dakwaan bekas pekerja bahagian penyelengaraan bengkel bas ekspres nasional Nadi Corporation (Nadicorp) Sdn Bhd bahawa TWU memotong wang pampasan tanpa kebenaran mereka.

Bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) itu berkata kesemua 136 pekerja terbabit telahpun memberi kebenaran kepada TWU membuat potongan tersebut sebagai 'upah' berunding dengan Nadicorp bagi mendapatkan pampasan lebih tinggi selepas perkhidmatan mereka ditamatkan.

Berikutan itu, kata Zainal, jawatankuasa yang dibentuk oleh bekas pekerja berkenaan, telah memberi persetujuan kepada Nadicorp untuk membuat potongan daripada pampasan tersebut lima peratus bagi ahli dan 15 peratus bukan ahli untuk dibayar kepada TWU.

Zainal menjelaskan demikian berikutan aduan bekas perkerja terbabit kepada Suhakam yang mendakwa Zainal telah memperdaya dan memaksa mereka supaya membenarkan wang pampasan pemberhentian kerja dipotong, tanpa persetujuan mereka.

Katanya, kesemua bekas pekerja terbabit turut menandatangi surat kebenaran supaya potongan itu dibuat sebagai 'upah' kepada TWU membantu mereka mendapatkan bayaran pampasan yang lebih tinggi daripada pihak majikan.

Menurut Zainal, TWU berjaya mendapatkan pampasan hampir RM2.5 juta bertambah RM1 juta berbanding RM1.5 juta yang ditawarkan sebelumnya oleh pihak Nadicorp kepada bekas pekerja terbabit.

Janji beri saham

"Exco TWU juga memutuskan TWU menerima potongan tersebut sebagai balasan kepada perjuangan TWU mendapatkan pampasan yang lebih tinggi kepada bekas pekerja Nadicorp tersebut," katanya.

Berikutan itu, TWU telah menerima sebanyak RM164,295 hasil potongan daripada pampasan itu sepertimana yang dipersetujui oleh kesemua pekerja terbabit.

"Mereka perlu berterima kasih kepada TWU kerana selepas beberapa siri rundingan dengan Nadicorp, kesemua mereka mendapat pampasan lebih besar daripada perjanjian bersama yang dibuat," katanya.

Berikutan itu, kata Zainal para pekerja berkenaan menerima wang pampasan antara RM20,000 hingga RM80,000 setiap seorang.

Sementara itu itu, seorang jurucakap Nadicorp, ketika dihubungi malaysiakini hari ini, menjelaskan potongan wang pampasan tersebut dibuat setelah pihaknya mendapat pengesahan dari kedua-dua pihak.

"Bagaimanpun, kita memotong secara purata 10 peratus dari kesemua 136 pekerja terbabit sebelum diserahkan kepada TWU," katanya.

Mengenai saham syarikat, beliau menjelaskan, kesemua 136 bekas pekerja itu masing-masing akan menerima 10 peratus saham apabila Nadicorp disenaraikan di Bursa Malaysia sebelum akhir tahun ini.

Katanya, ia adalah sebagai memenuhi antara berapa syarat utama dalam perjanjian bersama syarikat dengan pekerja, ketika Nadicorp mengambilalih pengurusan bas dari Mara beberapa tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau meminta bekas pekerja tersebut bersabar kerana mereka akan menerima peruntukan saham hanya selepas syarikat tersebut disenaraikan.

Berhubung dakwaan tindakan Syarikat Daya Matang Sdn Bhd, syarikat luar yang dilantik untuk penyelengaraan bengkel bas ekspres tersebut, mengambil pekerja asing, jurucakap itu berkata ia tidak ada kena mengena dengan Nadicorp.