Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib ucap tahniah pada penjaga dua tanah suci

Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan tahniah kepada Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, penjaga dua tanah suci Makkah dan Madinah, sempena dua tahun baiah pemerintahan baginda.

Perdana menteri berkata pada pengamatannya, Raja Salman yang merupakan Raja kerajaan Arab Saudi yang ketujuh, menjadi lambang kepada pemodenan pembangunan kerajaan Arab Saudi yang lebih terbuka dan progresif.

"Saya mewakili seluruh rakyat Malaysia ingin merakamkan ucapan sembah tahniah setinggi-tingginya kepada Tuanku Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

"Sesungguhnya pada hemah saya tiada tugas dan tanggungjawab lebih mulia selain menjaga dua tanah suci yang menjadi simbol kepada perpaduan dan ukhuwah umat Islam sedunia," katanya melalui ucapan video yang dimuat naik dalam laman blog rasminya, Najibrazak.com., malam tadi.

Baginda merupakan seorang Raja yang mahu membawa perubahan terhadap kerajaan Arab Saudi terutama kini melalui visi 2030 baginda, kata Najib menceritakan pengalaman menghadap Raja Salman ketika kunjungan rasmi ke Arab Saudi pada Mac tahun lepas.

Perdana menteri berkata visi Raja Salman memfokuskan tiga perkara utama iaitu pemerkasaan masyarakat, pembangunan ekonomi dan kerajaan Arab Saudi sebagai sebuah watan yang berwawasan.

"Sesungguhnya jika diimbau dari segi sejarah, hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Riyadh sudah pun terjalin sejak sekian lama dan mendalam semenjak berdekad-dekad.

"Bahkan kita sebagai negara Islam yang progresif lagi dinamik di rantau Asia Tenggara, amat sukacita kerana kerajaan Malaysia dan kerajaan Arab Saudi mempunyai persefahaman yang amat jelas, mempertahankan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah dan bersepakat pula memperjuangkan isu keamanan sejagat serta menolak fahaman-fahaman ekstremisme dan terrorisme," katanya.

Najib berkata pengiktirafan kerajaan Arab Saudi terhadap pengurusan dan pentadbiran Tabung Haji setiap kali menjelang musim haji merupakan antara perkara penting yang sering kali dirujuk dalam mengeratkan hubungan kedua-dua buah negara.

Beliau menjemput Raja Salman berangkat mengunjungi Malaysia
kerana pastinya dengan lawatan diraja yang amat bermakna itu kelak akan menambah lagi eratnya hubungan antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Arab Saudi.

"Saya mendoakan agar baginda diperkekalkan dalam keafiatan, kesejahteraan usia pemerintahan yang berpanjangan dan pemeliharaan taufik dan hidayah oleh Allah SWT untuk terus memerintah kerajaan Arab Saudi, khususnya demi menjaga kesentosaan dua tanah suci," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS