Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Asalnya mereka mahu menyampaikan mesej kepada Datuk Seri Najib Razak tetapi hajat kira-kira 15 aktivis siswa terbabit tidak kesampaian.

Apa yang mampu dibuat hanyalah menaikkan sepanduk mereka ketika rombongan kenderaan rasmi membawa perdana menteri itu berlalu meninggalkan kawasan Universiti Malaya (UM).

Mereka menunggu di pintu utama di bahagian Kerinchi namun kenderaan Najib tiba untuk majlis dialog bersama belia di Dewan Tunku Canselor dari pintu Petaling Jaya.

Kenderaan rasmi itu hanya melalui pintu tempat aktivis terbabit menunggu ketika dalam perjalanan pulang.

Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia Anis Syafiqah Md Yusof, berkata laluan berbeza untuk masuk dan keluar kenderaan membawa perdana menteri itu agak "pelik".

"Mungkin mereka tahu kami ada menunggu di sini, tetapi apa pun, kami harap Najib nampak mesej kami," katanya.

Antara mesej ingin disampaikan aktivis terbabit - melalui sepanduk dibawa mereka - ialah "Tangkap MO1"merujuk kepada individu dinamakan Jabatan Kehakiman AS dalam saman sivil bagi mendapatkan semula aset berkaitan dana 1MDB, Malaysian Official 1.

Pengkritik mengaitkan MO1 dengan Najib, namun Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menegaskan perdana menteri tidak melakukan sebarang kesalahan berkaitan 1MDB.

Terdahulu, Anis Syafiqah dan aktivis lain berharap Najib memasukkan reformasi pentadbiran universiti awam sebagai satu daripada pelan transformasi 30 tahunnya yang dinamakan TN50.

Anis Syafiqah berkata gesaan itu dibuat kerana perdana menteri sendiri berjanji untuk "mendengar suara" seluruh rakyat di negara ini.

"Kita sudah dengar perdana menteri kata, beliau sedia mendengar suara seluruh rakyat. Beliau mahu melaksanakan dasar bottoms up (dari rakyat ke kerajaan).

"Kalau ia benar-benar mahu dengar keluhan rakyat, mengapa tidak semua siswa dijemput ke majlis malam ini?" katanya.

Dia kemudian mempersoalkan sama ada Najib dan kerajaan hanya berminat suara yang menyokong pandangan mereka, manakala pengkritik disenyapkan, termasuk mengenakan tindakan disiplin seperti dialami 13 aktivis siswa sejak tahun lalu.

"Kenapa majlis dibuat secara tertutup dihadiri melalui undangan eksklusif untuk orang tertentu saja?

"Apakah ini suara yang ingin didengar kerajaan?" katanya.

Sementara itu siswa UM, Muhammad Luqman Nul Haqim Zul Razali - yang kini digantung satu semester - selain Thailand, hanya Malaysia negara di rantau ini yang mengambil tindakan disiplin ke atas penuntut universiti.

"Bagi kami apa yang paling utama pada TN50 adalah transformasi pentadbiran institusi pendidikan tinggi.

"Ia penting supaya mahasiswa boleh bebas menyuarakan pendapat mereka," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS