Saidin: Projek Bukit Botak kini tanggungjawab Ahmad Bhari
Projek pembangunan setinggan Bukit Botak di Selayang terbengkalai apabila pemaju Despuri Sdn Bhd gagal membina rumah kos rendah dan sederhana di kawasan seluas 100 ekar di kawasan tersebut, kata bekas Exco Kemudahan Asas Selangor, Saidin Thamby.
Projek pembangunan setinggan Bukit Botak di Selayang terbengkalai apabila pemaju Despuri Sdn Bhd gagal membina rumah kos rendah dan sederhana di kawasan seluas 100 ekar di kawasan tersebut, kata bekas Exco Kemudahan Asas Selangor, Saidin Thamby.
Beliau mendakwa, pemaju tidak dapat menjalankan kerja dengan sempurna kerana campurtangan jawatankuasa pembangunan setinggan yang ditubuhkan oleh Ketua Umno Bahagian Selayang, Datuk Ahmad Bhari Abdul Rahman.
Katanya, Ahmad Bhari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer, menubuhkan jawatankuasa tersebut untuk menjalankan kerja-kerja membanci keluarga setinggan untuk membeli rumah di Bukit Botak
Bagaimanapun, beliau mendakwa, ahli-ahli jawatankuasa tersebut telah menggunakan kedudukan mereka untuk kepentingan masing-masing, menyebabkan berlaku perbalahan sesama sendiri.
"Keadaan menjadi lebih parah apabila pemaju pula tidak mahu membina rumah kos rendah kerana untungnya kecil. Mereka mahu membina bangunan komersial," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Selayang hari ini.
Saidin menjelaskan demikian sebagai menolak dakwaan bahawa projek pembangunan setinggan Bukit Botak terbengkalai kerana beliau tidak memberikan komitmen ketika menjadi exco kemudahan Selangor dan Ketua Umno Bahagian Selayang dahulu
Sebaliknya, kata beliau, tanggungjawab memajukan kawasan tersebut kini terletak di bahu Ahmad Bhari dan beliau (Saidin) tidak mahu dikaitkan lagi dengan perkara tersebut kerana tidak memegang apa-apa jawatan lagi dalam Umno.
Saidin yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Selayang berkata, projek tersebut sudah terbengkalai kira-kira enam tahun lalu dan beliau mendakwa keadaan menjadi semakin rumit kerana peneroka asal mendakwa tanah itu milik mereka.
Cadangan asal
Katanya, tanah Bukit Botak seluas 224 ekar sebenarnya milik Shah Alam Properties (SAP) Berhad dan dipecahkan kepada 1,900 lot untuk pembinaan rumah kos rendah. Pada Disember 1988, Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor melantik SAP Berhad sebagai pengurus projek pembangunan setinggan Bukit Botak.
Saidin berkata, beliau adalah orang yang bertanggungjawab mengemukakan cadangan asal pelan pembangunan setinggan Bukit Botak kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pada pertengahan tahun 1990-an.
"Saya sebagai Ketua Umno Bahagian Selayang ketika itu, menemui Muhammad Taib selaku Menteri Besar dan juga Pengerusi SAP untuk membahagikan lot tanah tersebut dengan syarat mereka membina sendiri rumah.
"Kami sempat membahagikan 224 unit untuk pembangunan Fasa 1 Kampung Bendahara sebelum ditangguhkan pada 1997 kerana kemelesetan ekonomi," katanya.
Saidin berkata, setinggan yang mendapat tanah di Bukit Botak cuma membayar kira-kira RM10,000 sebagai bayaran premium tanah, kos meratakan tapak rumah serta bekalan elektrik dan air. Mereka membayar selepas membina rumah masing-masing.
Katanya, pada tahun 1998, Ahmad Bhari selaku Adun Templer mengemukakan cadangan supaya pembangunan setinggan Bukit Botak diteruskan melalui kerjasama dengan pemaju dan beliau mencadangkan ia diberi kepada Despuri.
"Tan Sri Muhammad, selepas mengadakan mesyuarat Exco Kerajaan Selangor, meluluskan permohonan tersebut untuk dimajukan oleh Despuri melalui pengawasan SAP," katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, beberapa tahun kemudian ia terbengkalai dan beliau sendiri tidak mengetahui mengenai status Despuri dalam projek pembangunan Bukit Botak.

