Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kasari penguat kuasa: Mahkamah lipat gandakan hukuman
Diterbitkan:  Jan 20, 2017 12:43 PM
Dikemaskini: 12:05 PM

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melipatgandakan hukuman penjara terhadap pasangan suami isteri yang mengasari penguatkuasa wanita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebelum ini.

Hukuman penjara terhadap mereka dinaikkan daripada 14 hari kepada 5 bulan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Wong Teck Meng, memerintahkan Lor Ka Hoo, 35, dan Tan Sit Fun, 30, menjalankan hukuman itu bermula hari ini.

Jabatan Peguam Negara sebelum ini memfailkan rayuan bagi membolehkan Lor dan isterinya, Tan  dikenakan hukuman lebih berat.

Pada 25 November lalu Lor dan Tan dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan selepas mereka ditahan ekoran klip video yang tersebar melibatkan mereka dengan seorang penguat kuasa MBSA.

Lor dan Tan dituduh menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan seorang pegawai MBSA daripada menjalankan kewajipannya.

Melalui klip video yang menjadi viral itu, seorang wanita dilihat mencekak belakang baju seorang penguat kuasa wanita dan enggan melepaskannya, manakala seorang lelaki merakam gambarnya dari jarak dekat.

Pegawai MBSA itu Nurul Ain Isa juga dihalang daripada meninggalkan tempat itu. Seorang lagi penguat kuasa wanita cuba membebaskan Nurul Ain tetapi gagal.

Sebelum ini, Bernama melaporkan, dalam penghakimannya, Wong berkata pasangan suami isteri itu tidak sepatutnya mengambil tindakan sendiri memandangkan bayaran tiket meletak kereta dan saman meletak kenderaan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak melibatkan kos yang besar.

"Jika disaman, PBT tetapkan jumlah yang perlu dibayar antara RM10 ke RM15 sahaja sekiranya dibayar pada hari yang sama. Selepas 24 jam baharulah kadar itu bertambah dan jika tidak bayar juga, akan ada tawaran diskaun yang diberikan oleh PBT.

"Kedua-dua perayu (Lor dan Tan) sepatutnya bertindak tenang, terima saman dan bayar tanpa perlu berkasar dengan anggota penguat kuasa. Menghalang tugas penjawat awam adalah satu kesalahan yang serius," katanya.

Sehubungan itu, Wong berkata mahkamah berpendapat hukuman berbentuk pengajaran wajar dijatuhkan ke atas pasangan suami isteri itu supaya mereka tidak mengulangi kesalahan dan juga sebagai peringatan kepada masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan yang sama.

Terdahulu, dalam hujahannya, Muhamad Iskandar memohon supaya mahkamah lebih mengutamakan kepentingan awam berbanding kepentingan tertuduh dengan menambah tempoh pemenjaraan antara enam bulan hingga 11 bulan.

"Kira-kira 1.2 juta penjawat awam di Malaysia ketika ini mengharapkan satu hukuman yang benar-benar boleh menyedarkan kedua-dua tertuduh serta pihak lain yang cuba memperlekeh tugas penjawat awam," katanya.

Mengenai hujahan peguam pasangan suami isteri itu, Gabriel Susayan bahawa anak guamnya telah 'dihukum' oleh pihak media yang melaporkan kes mereka dengan meluas, Muhamad Iskandar menjelaskan peranan pihak media ialah untuk menzahirkan kegusaran masyarakat dan bukan untuk menjatuhkan hukuman.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, mangsa bersama rakan setugas sedang mengeluarkan saman ke atas sebuah kereta yang tidak mempunyai kupon bayaran letak kereta.

Tindakan itu bagaimanapun mengundang kemarahan pasangan suami isteri itu yang bertindak menarik baju serta menghalang mangsa daripada beredar.

Kejadian itu menjadi tular selepas rakaman video berdurasi dua minit 10 saat tersebar di laman sosial.

Lihat Komen
ADS