Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
EAIC siasat kematian tahanan di lokap polis Bera
Diterbitkan:  Jan 20, 2017 12:48 PM
Dikemaskini: 4:52 AM

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah membentuk satu pasukan petugas untuk menyiasat kematian seorang tahanan di lokap di Ibu Pejabat Polis (IPD) Bera, Pahang.

Soh Kai Chiok, 49, dilaporkan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 12.15 tengah malam pada 18 Januari lalu.

Mangsa ditahan polis kerana disyaki mencuri pisang dan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Satu pasukan petugas yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan EAIC telah ditubuhkan di bawah seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] untuk menjalankan siasatan serta merta ke atas kematian ini,” kata Pengerusi, EAIC, Datuk Yaacob Md Sam dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasukan petugas itu akan menentukan sama ada terdapat sebarang salah laku dizahirkan, termasuk unsur-unsur jenayah oleh pegawai polis, semasa penangkapan dan penahanan yang membawa kepada kematian Soh.

Jika berlaku salah laku, Yaacob berkata pasukan petugas itu juga akan cuba untuk menentukan bagaimana dan mengapa ia berlaku dan juga peruntukan undang-undang dan prosedur operasi standard yang tidak dipatuhi semasa penangkapan tahanan.

Akhir sekali, beliau berkata, siasatan akan menentukan individu yang bertanggungjawab terhadap salah laku atau perlakuan jenayah tersebut.

“EAIC memandang serius dan berasa kesal dengan kematian orang tahanan dalam lokap pihak berkuasa yang masih berulang kali berlaku di negara ini.

“Integriti dan kredibiliti penguat kuasa seharusnya tidak dicemari dan perlu dipelihara daripada kejadian seperti ini,” katanya.

Beliau menggesa agar agensi penguatkuasaan yang mempunyai lokap tidak lagi berkompromi dan mengambil perhatian serius terhadap pengesyoran dan langkah-langkah penambahbaikan oleh EAIC berhubung pengurusan dan tatacara pengendalian orang tahanan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS