Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak boleh, tak boleh, tak boleh, kata Datuk Bandar

Walaupun PAS akan membuat rayuan serta memberi jaminan Himpunan RUU 355 berlangsung dengan aman dan tertib namun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetap tidak membenarkan ia dibuat di Dataran Merdeka.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz, pihaknya tetap tidak membenarkan himpunan berkenaan diadakan di Dataran Merdeka sebaliknya meminta ia dibuat di Stadium Titiwangsa.

"Tak boleh, saya dah beritahu beberapa kali, Dataran dengan Padang Merbok bukan untuk apa-apa perhimpunan. Semua perhimpunan (dibuat) dekat Stadium Titiwangsa.

"Itu (tak boleh buat di Dataran) tak perlu diberitahu lagi, semua orang dah tahu. Dah berapa kali saya beritahu, kecuali orang yang tak faham," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai surat penolakan yang diberi DBKL kepada PAS.

Selain itu, ditanya sama ada DBKL tetap tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan walaupun PAS akan merayu dan menyediakan 2,000 petugas serta sukarelawan bagi memastikan himpunan berkenaan berjalan penuh tertib, Mhd Amin berkata:

"Tak boleh, tak boleh," katanya.

Hari ini, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya memberitahu bahawa sekretariat Himpunan RUU355 telah menerima surat dari DBKL bertarikh 13 Januari yang menolak himpunan berkenaan dibuat di Dataran Merdeka.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, dalam surat tersebut DBKL tidak memberikan hujah permohonan mereka ditolak dan pihaknya akan membuat rayuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini turut menyarankan PAS berhimpun di Stadium Titiwangsa.

Himpunan RUU355 akan diadakan pada 18 Februari depan bertujuan untuk memberi penerangan dan menyatakan sokongan terhadap usaha presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi menambah hukuman maksimum bagi kes-kes di Mahkamah Syariah.

Hadi sebelum ini membacakan usul rang undang-undang ahli persendirian untuk meminda Akta 355 pada hari terakhir parlimen November lalu.

Rang undang-undang itu dijangka akan dibentangkan pada sesi parlimen bulan Mac depan.

Ia bagaimanapun menimbulkan kebimbangan yang pindaan itu akan membuka jalan untuk pelaksanaan undang-undang hudud.

Lihat Komen
ADS