Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KPM kesal kenyataan profesor Harvard diputar belit
Diterbitkan:  Jan 21, 2017 3:20 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Kementerian Pendidikan kesal dengan tindakan sebuah media dalam talian yang memutar belit kenyataan Prof Lant Pritchett berhubung rendahnya kualiti graduan pendidikan tinggi di negara ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata tulisan yang dipetik di luar konteks pandangan sebenar profesor dari Harvard University, Amerika Syarikat itu telah menjadi tular, sekaligus mengundang penafian terbuka daripada ahli akademik tersebut.

"Kementerian Pendidikan amat menghargai pandangan Prof Pritchett bahawa pembelajaran yang terlalu tertumpu kepada hafalan dan latih tubi untuk pencapaian peperiksaan di peringkat sekolah tidak akan membantu perkembangan murid dan pelajar di peringkat tertiari dan tinggi.

"Bagaimanapun, kementerian amat kesal apabila pendapat dan pandangan murni itu telah diputar belit oleh tajuk tular sebuah media (pada Khamis lepas) sehingga Prof Pritchett secara terbuka menyangkal tajuk berkenaan," kata kenyataan itu.

Penafian terbuka itu kemudiannya disusuli dengan kenyataan maaf portal tersebut bahawa penyelidik dari Amerika Syarikat tersebut tidak pernah menyatakan komen mengenai kualiti graduan Malaysia.

Kenyataan itu menyebut bahawa Kementerian Pendidikan sentiasa bersikap terbuka terhadap sebarang pandangan bagi memaju dan memantapkan lagi dasar pendidikan, selain menghargai sebarang perbezaan pendapat mengenai pelaksanaan program dan inisiatif pendidikan.

Kementerian Pendidikan mengambil iktibar kejadian ini dengan iltizam kukuh untuk meneruskan agenda pembangunan pendidikan dengan bukan saja melahirkan murid berilmu, berakhlak dan adaptif kepada cabaran dan ketidaktentuan mendatang, menurut kenyataan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS