Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 7,036 orang

Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 7,036 orang daripada 2,030 keluarga setakat 5 petang ini berbanding 4,345 orang daripada 1,182 keluarga tengah hari tadi.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi Infobanjir, semua mangsa ditempatkan di 53 pusat pemindahan di tujuh jajahan di negeri ini.

Jajahan Kota Bharu mencatat jumlah mangsa paling ramai iaitu 2,362 orang daripada 728 keluarga yang ditempatkan di 18 pusat pemindahan.

Ini diikuti 1,602 mangsa daripada 455 keluarga di 19 pusat pemindahan di Pasir Mas manakala 1,588 mangsa daripada 436 keluarga ditempatkan di sembilan pusat pemindahan di Pasir Puteh.

Selain itu, 803 mangsa daripada 226 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan di Tumpat, 425 orang daripada 111 keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Bachok, 167 mangsa daripada 49 keluarga di dua pusat pemindahan di Machang, dan 89 orang daripada 25 keluarga di dua pusat pemindahan di Tanah Merah.

Sementara itu, menurut portal ebanjir.kelantan.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang menurun kepada 10.11 meter (m) pada 5 petang ini berbanding 10.12m pada 12 tengah hari tadi.

Paras amaran bagi sungai itu adalah 9m manakala sungai yang lain masih berada pada tahap normal.

-Bernama

Lihat Komen
ADS