Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Melaka mulai banjir, N Sembilan diarah bersedia

Melaka menjadi negeri terbaru dilanda banjir manakala Pahang kembali dilanda bencana itu tengah hari ini selepas dua hari reda.

Perkembangan itu menjadikan jumlah negeri yang terjejas banjir
setakat ini meningkat kepada lapan selain Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak di mana keadaan banjir dilaporkan tidak banyak berubah.

Setakat ini, seramai 6,288 mangsa banjir di negeri-negeri itu terpaksa berteduh di 71 pusat pemindahan setelah kediaman mereka ditenggelami air.

Di MELAKA, hujan lebat yang turun sejak Isnin menyebabkan lima sekeluarga di Kampung Chohong, Jasin menjadi mangsa awal yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara di negeri itu.

Di PAHANG, enam sekeluarga dari Kampung Sungai Lik, Lipis terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing selepas paras air di kawasan mereka semakin meningkat susulan hujan lebat berterusan sejak semalam.

Sementara itu, penduduk di Negeri Sembilan pula diarah bersedia menghadapi kemungkinan banjir pada bila-bila masa susulan hujan yang tidak berhenti sejak 48 jam lepas yang menyebabkan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Bukit Kledek, Gemencheh, Tampin diarahkan tutup kerana kawasan sekolah terbabit dinaiki air.

Penduduk di kawasan Gemas dinasihatkan bersedia menghadapi kemungkinan banjir berikutan paras air di Sungai Gemencheh di Empangan Sungai Dua Tampin kini berada di paras amaran.

Pengerusi Bencana Daerah Tampin Mohamed Roduan Ujang berkata sebagai persiapan, Bilik Gerakan Banjir telah dibuka di Pejabat Daerah Kecil Gemas yang dibuka 24 jam sehingga keadaan kembali pulih, sementara 12 buah pusat pemindahan banjir telah dikenal pasti.

Dalam pada itu, di SELANGOR bilangan mangsa banjir meningkat kepada 196 orang tengah hari ini berbanding 152 mangsa pagi tadi, manakala di PERAK, bilangan mangsa banjir turut meningkat kepada 437 orang berbanding 433 orang pagi tadi.

Di JOHOR jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di seluruh negeri itu meningkat kepada 2,051 orang berbanding 1,457 pagi tadi. 

Manakala di KELANTAN bilangan mangsa banjir menurun 2,769 orang berbanding 3,344 orang pagi tadi dengan kesemua mangsa ditempatkan di 19 pusat pemindahan di beberapa jajahan di negeri itu.

Keadaan banjir di SABAH keadaan banjir tidak berubah berbanding pagi tadi dengan bilangan mangsa banjir di Pitas dan Paitan, Sabah kekal 824 orang yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan di dua daerah itu.

Di SARAWAK lapan sekolah rendah di negeri itu masih ditutup iaitu empat di Bintulu iaitu SK Kuala Sigu, SK Genaan, SK Bukit Mawang dan SK Kuala Binyo dan empat sekolah di Miri iaitu SK Rumah Ranggong, SK Long Sobeng, SK Kuala Bok dan SK Long Loyang.  -Bernama

Lihat Komen
ADS