Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU14: PERKASA akan letak calon cabar presiden MCA dan Gerakan

PERKASA, akan meletakkan calon bertanding di Parlimen Bentong dan Teluk Intan dalam PRU14 yang masing-masing diwakili oleh presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berkata, ia ekoran kedua-dua pemimpin BN itu menolak cadangan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang juga dikenali sebagai Akta 355.

Menurut Ibrahim, ahli dari PERKASA itu menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas memandangkan kedua-kedua kerusi itu adalah kawasan Melayu.

"Ahli-ahli PERKASA akan bertanding di Bentong dan Teluk Intan kerana kedua-duanya (pemimpin BN itu) telah membuat kenyataan yang menyentuh mengenai kedudukan Islam, terutamanya Akta 355.

"Mereka membuat pelbagai kenyataan tetapi tidak sedar bahawa mereka hanya menang dengan majoriti tipis," katanya kepada Malaysiakini.

Cadangan pindaan itu pertama kali dibentangkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui rang undang-undang ahli persendirian.

Ia bertujuan untuk meningkatkan had hukuman sekarang - daripada denda RM5,000, tiga tahun penjara dan enam sebatan - kepada RM100,000 denda, 30 tahun penjara dan 100 sebatan.

Liow dan Mah telah menyatakan penentangan terhadap pelaksanaan sebarang undang-undang yang dianggap "tidak mengikut perlembagaan".

Liow menang di Bentong dengan 379 undi majoriti dalam PRU13 manakala Mah pula menang dengan majoriti 235 undi dalam pilihan raya kecil pada 2014.

Mengenai calon dari PERKASA itu, Ibrahim berkata, mereka adalah Melayu.

Justeru beliau mengingatkan supaya MCA, Gerakan dan DAP supaya lebih baik bertanding di kawasan majoriti Cina.

Kedua-dua Bentong dan Teluk Intan dianggap sebagai kerusi yang seimbang dari segi kaum, dengan kadar nisbah yang hampir sama antara pengundi Melayu dan Cina.

Sebelum ini, PERKASA mengumumkan akan meletakkan 50 calon bebasbertanding dalam PRU14.

Sehingga kini, NGO itu telah memutuskan untuk bertanding di Pasir Mas, Bentong dan Teluk Intan.

Lihat Komen
ADS