Beberapa NGO bekerjasama pada hari Isnin untuk menyediakan pemeriksaan kesihatan dan mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan di pusat bandar Kuala Lumpur.

Maaruf Prihatin, bersama-sama dengan Muslim Care, Ameerah dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) berkata mereka berhasrat untuk meneruskan khidmat pemeriksaan kesihatan itu pada masa hadapan.

"Ini adalah kali pertama kami mengadakan pemeriksaan kesihatan untuk mereka. Kami telah mengagihkan makanan kepada mereka sejak awal tahun lalu," kata Pengerusi Maaruf Prihatin, Mohd Shahir Abu Hassan.

Enam pegawai perubatan dan beberapa doktor junior terlibat dalam projek itu. Mohd Shahir berkata, perbincangan sedang dijalankan dengan PAPISMA untuk membolehkan projek itu diadakan sekurang-kurangnya setiap empat atau enam bulan.

Bagaimanapun, katanya, terdapat kesukaran mendapatkan doktor yang boleh komited untuk jadual tetap bagi menjayakan projek tersebut.

"Sukar untuk mendapatkan doktor, mereka juga perlu bertugas," kata Mohd Shahir.

Menurut satu kaji selidik baru-baru ini oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, terdapat sekurang-kurangnya 2,000 orang gelandangan setiap malam, meningkat daripada kira-kira 600 orang pada 2014.

Beberapa NGO tampil membantu serta menyediakan perkhidmatan lain kepada golongan gelandangan tersebut.

Teddy Mobile Clinic, yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada golongan miskin dan gelandangan di bandar, menerima anugerah daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada tahun lepas.

Kerajaan juga telah menubuhkan beberapa tempat perlindungan untuk golongan gelandangan di kawasan utama bandar, tetapi katil yang disediakan masih tidak mencukupi.

[Baca berita penuh]