Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PERKASA turut tanding Bentong, Teluk Intan dalam PRU

PERKASA akan turut bertanding di Bentong, Pahang dan Teluk Intan, Perak dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata pihaknya akan meletakkan calon bebas di kerusi Parlimen itu, di samping Pasir Mas, Kelantan yang telah diumumkan sebelum ini.

Katanya, mereka akan meletakkan calon di situ memandangkan DAP dan Gerakan yang biasanya bertanding di kawasan itu menolak Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (RUU355).

Ibrahim berkata, kedua-dua calon yang tidak dinamakan itu menawarkan diri memandangkan kawasan itu adalah kawasan Melayu dan mereka mahu membela umat Islam.

“Ahli PERKASA akan bertanding di Bentong dan Teluk Intan kerana kedua-dua calon itu membuat kenyataan menyentuh kedudukan Islam terutamanya bersabit RUU355.

“Mereka tak belajar sejarah, dan pemimpin mereka zaman silam… Mereka menyentuh pelbagai kenyataan serta mereka tak sedar, kemenangan lalu di Bentong dan Teluk Intan adalah kemenangan tipis,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Sebelum ini Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menang di Bentong dengan majoriti 379 manakala Presiden GERAKAN Datuk Seri Mah Siew Keong pula hanya menang dengan 235 undi majoriti di Teluk Intan.

Ibrahim berkata selain menolak RUU355, MCA dan GERAKAN tidak banyak beza dengan DAP yang menuntut pelbagai perkara dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Pada mereka hak dan kepentingan kaum mereka saja penting dan tidak menjaga sensitiviti serta perasaan orang Islam.

“Kononnya RUU 355 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, itu siapa kata. Kalau tak faham diam saja.

“Mereka juga sering menuntut berbagai perkara yang bertentangan dengan perlembagaan tapi berdalih atas nama demokrasi, kebebasan beragama, hak asasi dan macam-macam lagi,” katanya.

Ibrahim berkata, calon bebas yang akan diletakkan di kawasan itu adalah berbangsa Melayu.

Justeru beliau mengingatkan supaya MCA,GERAKAN dan DAP supaya bertanding di kawasan majoriti Cina supaya boleh membuktikan “siapa lebih Cina”.

“Kalau MCA, GERAKAN dan DAP nak tunjuk sapa lebih Cina.. kena bertanding tempat Cina. Jangan bertanding di kawasan Melayu. Bertanding di kawasan yang 50 peratus Cina,” katanya.

Sebelum ini, PERKASA mengumumkan akan meletakkan 50 calon bebas bagi bertanding dalam PRU14.

Lihat Komen
ADS