Terjemahan Polis menahan 50 pelarian politik Burma, termasuk seorang wanita, pagi ini dan kini ditahan di Balai Polis Jalan Pudu, selepas mereka mengadakan 'bantahan haram' di depan Kedutaan Burma di Kuala Lumpur.

Mereka mengadakan bantahan tersebut di luar bangunan kedutaan untuk menggesa dilaksanakan pembaharuan demokrasi di Burma dan menuntut supaya dibebaskan pejuang demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi.

Kumpulan pro-demokrasi seramai 70 orang itu pada mulanya berkumpul di kedutaan tersebut sejak jam 10 pagi bagi menyatakan sokongan mereka kepada Suu Kyi, yang dipenjarakan sejak Mei 2003 dan kemudiannya diletakkan dalam tahanan dalam rumah sehingga sekarang.

Mereka membawa sepanduk sambil melaungkan slogan serta menyanyi lagu kebebasan, menggesa supaya Suu Kyi dibebaskan tanpa syarat bersama tahanan politik lain di Burma.

(Nama Burma ditukar kepada Myanmar oleh pemerintah tenteranya tetapi penggunaan nama baru itu ditolak oleh majoriti rakyat negara itu)

Anggota polis yang diketuai Ketua Polis Balai Pudu, Mohd Asri Mohd Yunus, tiba pada jam 10.20 pagi. Beliau memberi mereka masa 10 minit untuk bersurai dan jika tidak, mereka akan ditahan kerana mengadakan demonstrasi secara haram.

Menurut Akta Polis 1967, sebarang perhimpunan tanpa permit oleh lebih daripada lima orang adalah dianggap sebagai perhimpunan haram dan mereka boleh ditahan.

Kumpulan tersebut cuba berunding dengan pihak polis supaya diberi masa sejam untuk berhimpun di situ, tetapi gagal.

Bagaimanapun, mereka terus melaungkan "bebaskan Daw Suu, kami mahu demokrasi di Burma" ketika mereka dibawa menaiki trak polis.

Beri sokongan

Sebelum itu, mereka membaca dengan kuat kandungan satu memorandum kepada kedutaan tersebut, yang menuntut supaya pemerintah tentera membebaskan naib pengerusi Liga Demokrasi Kebangsaan(NLD) U Tin Oo dan mengembalikan demokrasi.

NLD memenangi pilihanraya umum 1990 dengan majoriti besar, tetapi ia tidak dibenarkan menubuhkan kerajaan oleh pihak tentera. Pemimpin dan ahli parti itu selalu ditangkap dan diletakkan dalam tahanan di rumah.

Mereka juga menggesa junta tentera supaya mengadakan perjumpaan tergempar dengan NLD dan kumpulan-kumpulan (politik dan bersenjata) di negara itu.

"Pemimpin kami(Suu Kyi) tidak keseorangan. Kami semua berdiri teguh di belakangnya. Kami tahu pihak tentera masih mahu menghancurkannya dan keputusan pilihanaraya. Ada dua cara untuk memilih masa depan kami.

"Pertama, menerima tindakan SPDC (Majlis Pembangunan dan Keamanan Negara) menghancurkan semua kumpulan demokrasi atau, kedua, bangun berjuang dan berkorban untuk negara kita, bersama dengan Daw Suu, untuk demokrasi dan hak asasi manusia. Kami telah milih pilihan kedua."

Pegawai kedutaan itu tidak menemui kumpulan tersebut kecuali merakam gambar perhimpunan itu. Setiausaha pertama kedutaan itu enggan mengulas ketika ditemui malaysiakini.

Hari jadi Suu Kyi ke-60

Suu Kyi yang merupakan penerima Hadiah Nobel Keamanan, akan menyambut harijadi ke-60 di rumahnya di Rangoon Ahad ini. Beliau tidak dibenarkan keluar rumah sejak lebih dua tahun lalu, dan penahanannya itu dikutuk oleh masyarakat antarabangsa.

Perhimpunan untuk meraikan harijadi Suu Kyi yang jatuh pada 19 Jun ini diadakan hari ini, dan bukannya pada hari Ahad depan, kerana kedutaan tersebut ditutup pada hari minggu.

Penganjur perhimpunan hari ini, Naing Linn berkata kesannya lebih mendalam jika ia diraikan pada hari ini.

Beliau mendakwa menjadi wakil cawangan NLD di Malaysia. Bagaimanapun, beliau tidak ada dalam kumpulan yang ditahan polis pagi ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan akhbar yang berkaitan, badan pengawas hak asasi manusia global, Amnesty International (AI), mengulangi gesaannya supaya dibebaskan kira-kira 1,350 tahanan politik di Burma dan menyifatkan tahanan berterusan ke atas Suu Kyi sebagai 'tidak boleh diterima'.

Setiausaha Agung AI, Irene Khan berkata, Suu Kyi telah dinafikan hak kebebasannya hampir satu pertiga daripada tempoh sepanjang 16 tahun, dan tidak pernah didakwa atau dibicarakan di mahkamah.

Suu Kyi mungkin tidak dapat meraikan hari jadinya bersama-sama dua anaknya (yang tidak tinggal di Burma) kerana mereka tidak dibenarkan menemui ibu mereka sejak dua tahun lalu dan pengeluaran visa untuk masuk ke Burma pula adalah terhad.