Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR sambut baik salam DAP pada PAS
Diterbitkan:  Jan 26, 2017 4:06 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

PKR menyambut baik kesediaan DAP untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk PAS demi menumbangkan BN dalam pilihan raya umum akan datang, kata timbalan presidennya,
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Saya menganggap kenyataan ini sebagai satu langkah positif menuju ke arah penyatuan semua parti politik dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan tertinggi.

"Ini pastinya menuntut kebijaksanaan dan pendekatan inklusif dengan mengenepikan perbedaan pendekatan dan politik kepartian demi matlamat menyeluruh yang lebih penting iaitu menyelamatkan negara dan bangsa daripada belenggu pemimpin rasuah dan kerajaan kleptokrat," kata Azmin dalam kenyataan media hari ini.

Penasihat DAP Lim Kit Siang pada 22 Januari lalu menyatakan sedia bekerjasama dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika presiden PAS itu berkongsi komitmen sama dalam memerangi rasuah dan kleptokrasi.

Lim berkata, isu itu akan menjadi agenda negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dan menyoal jika Abdul Hadi sanggup menyatakan sebarang komitmen.

Bagaimanapun, pelawaan itu disambut dingin oleh pemimpin PAS, termasuk timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata parti itu tidak boleh menerimanya walaupun DAP dilihat cukup terbuka hingga bersedia 'menjilat ludahnya sendiri'.

Sementara itu, Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan pula berkata pelawaan DAP itu sekadar ‘wayang opera murahan’ dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

PKR masih terus berunding

Meksipun pimpinan PAS menunjukkan reaksi dingin terhadap Lim, Azmin berkata, PKR masih meneruskan perbincangan dan rundingan dengan parti itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan parti-parti lain.

Katanya, program bersama PAS juga terus berjalan baik terutama di peringkat negeri Selangor dan akar umbi.

Bagaimanapun menurut Azmin, muafakat ini hanya boleh dicapai melalui perbincangan dan rundingan, walaupun mengakui ia suatu proses yang rumit.

"Saya yakin perkara yang rumit ini boleh dirungkai jika semua pihak mengamalkan sikap terbuka dan bertolak ansur," katanya.

Tambahnya, beliau juga menghormati tumpuan yang sedang diberikan pimpinan tertinggi PAS menjelang muktamar tahunan 2017 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Kami yakin kebijaksanaan dan pengalaman luas kepimpinan PAS. Anggota PAS juga mahukan sebuah kerajaan bersih dan mereka komited kepada prinsip keadilan dan pembenterasan rasuah demi menyelamatkan negara untuk generasi masa depan," kata Azmin.

Lihat Komen
ADS