Malaysiakini
BERITA

Dr M terus masuk perangkap DAP

Mohd Zuhdi Marzuki

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Jan 2017, 10:04 pagi

Saya telah diminta untuk menyatakan pendirian oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, adakah beliau lebik buruk daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sehingga saya dikatakan cuba menghalang wujudnya hubungan PAS dan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia - BERSATU).

Dukacita saya memaklumkan, saya tidaklah berminat untuk memberi maklum balas dengan membuat perbandingan antara keduanya kerana masing-masing mempunyai legasi dan bagasi tersendiri.

Sekali lagi saya ingin mengulangi pendirian PAS dalam melihat krisis integriti yang sedang berlaku di Malaysia hari ini. Ia berpunca daripada sistem urus tadbir negara dan tatakelola awam yang sudah rosak dan pincang.

Situasi ini menuntut kepada pengislahan keseluruhan kepimpinan kerajaan dan jentera pentadbiran awam. PAS sebelum ini telah bertegas, menjatuhkan seseorang individu bukanlah jalan penyelesaian kepada krisis integriti ini, sebaliknya ia hanya mengulangi krisis yang sama pada masa depan.

Saya yakin sebagai sebuah parti Islam, pimpinan PAS dan ahlinya sedia memaafkan sesiapa saja termasuk Dr Mahathir meskipun PAS adalah antara pihak yang paling tertekan daripada tindak-tanduk beliau semasa berkuasa.

Pengisytiharan darurat Kelantan, tragedi Memali, penentangan Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan, pemansuhan royalti petroleum Terengganu dan pemansuhan geran sekolah agama rakyat adalah antara tindak-tanduk Dr Mahathir untuk cukup menekan PAS.

Bagaimanapun, pimpinan dan ahli PAS diyakini bersedia memaafkan sesiapa saja yang bersedia untuk membetulkan kesilapannya, dan membela semula mereka yang dizalimi oleh tindak-tanduk tersebut.

Agenda untuk menyelamatkan negara dalam aspek politik, sosial dan ekonomi memerlukan bukan saja mereka yang telah melakukan kesalahan untuk kembali kepada sistem bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah, bahkan seluruh rakyat Malaysia perlu menggembeling usaha kembali kepada keduanya.

Presiden PAS sebelum ini telah menyeru semua pihak yang berusaha untuk menyelamatkan Malaysia mengikut kaedah yang dianjurkan oleh PAS, iaitu kembali kepada sistem pemerintahan Islam yang bersumberkan al-Quran dan sunnah.

Sikap DAP dan pihak-pihak lain seumpamanya termasuk MCA dan Gerakan yang anti kepada sistem pemerintahan Islam yang dianjurkan oleh PAS akan hanya membantutkan ruang untuk bekerjasama ke arah menyelamatkan negara.

Pada pandangan saya, perkara inilah yang mensabotaj usaha untuk menjalin hubungan antara PAS dan BERSATU.

Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin berusaha untuk mewujudkan jalinan tersebut, Dr Mahathir pula terus masuk ke perangkap DAP yang beliau sendiri sebut sebelum ini sebagai golongan cauvinis dan anti-Islam. Usaha untuk mendaulatkan Islam sebagai penyelesai sebenar kepada kemelut yang dihadapi negara termasuk krisis integriti, tidak mungkin digembeling sekiranya DAP terlibat sama.


DR MOHD ZUHDI MARZUKI ialah anggota Jawatankuasa Pusat PAS merangkap Pengarah Pusat Penyelidikan PAS. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiakini

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan