Pelajar M'sia dihantar pulang kerana tinggal lebih masa
Seorang pelajar Malaysia semalam dihantar pulang ke negara ini oleh pihak berkuasa Jordan atas kesalahan tinggal lebih masa.
Kementerian Luar dalam kenyataan, menyatakan berdasarkan laporan yang diterima, visa pelajar Ahmad Musa Alnuwayri Kamaruzaman telah tamat sejak November 2015.
"Beliau telah diarahkan pihak berkuasa Jordan untuk meninggalkan Jordan dalam tempoh tujuh hari pada penghujung November 2016, yang mana beliau gagal berbuat demikian," kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, Ahmad Musa telah ditahan pihak berkuasa Jordan pada 20 Januari 2017.
Kenyataan itu menyebut Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan telah dimaklumkan berhubung penahanan tersebut dan pegawai daripada kedutaan melawat Ahmad Musa bagi memastikan kebajikan beliau terjaga.
Menurut kenyataan itu juga, kedutaan turut menerima kerjasama yang baik daripada pihak berkuasa Jordan dalam mengendalikan isu tersebut.
"Kementerian Luar mengingatkan rakyat Malaysia di Jordan agar menghormati dan mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan, terutama berkaitan dengan undang-undang imigresen bagi mengelak sebarang kesulitan," kata kenyataan itu.
Fariz selamat pulang
Sementara itu, Muhammad Fariz R Azli, yang terkandas hampir dua bulan di Ecuador, Amerika Selatan, berikutan keengganannya membawa ‘barangan' untuk diseludup ke Malaysia, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Tiba pada kira-kira 6 petang, Fariz, 24, dilihat sukar menyembunyikan perasaan sedih yang menyelubungi dirinya sebaik dapat mendakap ibunya, Maszita Hussin, 46 yang menunggu untuk menyambut beliau bersama anggota keluarganya.
Katanya beliau terkandas di Ecuador kerana dalam penjalanan untuk bercuti melalui tiket 'percuma' yang ditawarkan seseorang kepada beliau.
"Namun itu semua hanya satu penipuan kerana apabila di sana, saya diminta untuk membawa barangan yang saya tidak tahu isinya oleh individu tidak dikenali dan kerana keengganan saya mengikut mereka, saya telah diberi tiket pulang palsu," katanya kepada media.
Sepanjang berada di Ecuador, beliau yang sebelum ini bekerja sebagai perunding kewangan, hanya makan roti dan pisang dan kadangkala nasi yang diberi pekerja hotel di tempatnya menginap.
Beliau bersyukur keadaan yang menimpa dirinya menjadi tular di media sosial hasil usaha anggota keluarga dan rakan-rakan termasuk temannya dan mereka membantunya dengan mengutip derma bagi membolehkan beliau pulang ke Malaysia.
"Saya merancang untuk membuat laporan polis selepas ini dan segala butiran lanjut akan saya laporkan kepada pihak berkuasa," katanya.
Maszita berkata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga anggota Parlimen Bera, turut menghulurkan bantuan.
"Saya bersyukur anak saya pulang dengan selamat dan saya berterima kasih kepada semua pihak dalam usaha membantu Fariz," katanya.
- Bernama

