Mangsa banjir di Johor berkurangan tengah hari ini
Keadaan banjir di Johor bertambah baik setakat tengahari ini dengan 6,013 orang masih berada di pusat pemindahan berbanding 6,852 mangsa pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata mereka merangkumi 1,619 keluarga yang ditempatkan di 66 pusat pemindahan di empat daerah iaitu Segamat, Muar, Tangkak dan Kluang.
Segamat kekal dengan jumlah mangsa tertinggi seramai 4,033 orang daripada 1,079 keluarga yang ditempatkan di 47 pusat pemindahan, katanya.
Di Tangkak, seramai 1,528 mangsa melibatkan 412 keluarga masih berada di 12 pusat pemindahan, sementara di Kluang hanya ada sembilan mangsa daripada tiga keluarga di satu pusat pemindahan.
Ayub berkata Muar merekodkan sedikit peningkatan dengan 443 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan berbanding 415 orang pagi tadi disebabkan limpahan air Sungai Segamat yang menerima aliran masuk air banjir.
Ekoran itu katanya sebuah lagi pusat pemindahan dibuka menjadikan enam pusat pemindahan setakat tengah hari ini.
Sementara di Kuantan, lebih 1,000 mangsa banjir di Pahang dibenarkan pulang setakat tengah hari ini dengan 6,167 mangsa masih berada di pusat pemindahan di sembilan daerah berbanding 7,198 orang pagi tadi.
Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Pahang berkata Lipis merekodkan mangsa teramai sebanyak 2,094 daripada 586 keluarga.
Jerantut pula mencatatkan 1,140 orang (358 keluarga), sementara Temerloh menyaksikan 1,113 orang (277 keluarga) masih berada di pusat pemindahan.
"Rompin mencatatkan 1,003 orang (278 keluarga), Maran dengan 247 mangsa (57 keluarga), Kuantan merekodkan 156 orang (34 keluarga), Pekan mencatatkan 143 orang (32 keluarga), Raub dengan 137 orang (34 keluarga) dan Bera dengan 134 mangsa (32 keluarga)," katanya.
Sebanyak 108 pusat pemindahan masih beroperasi berbanding 115 pagi tadi.
Daripada jumlah itu, 28 di Temerloh, 26 di Lipis, Jerantut (15), manakala Rompin, Maran, Pekan, dan Bera masing-masing tujuh, Raub (6) dan Kuantan (5).
Berdasarkan laman sesawang publicinfobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, tujuh sungai di Pahang melepasi paras bahaya, tiga pada paras amaran dan lima lagi pada paras berjaga-jaga.
Di Selangor, jumlah mangsa banjir di tiga pusat pemindahan di daerah Sabak Bernam setakat 12 tengah hari ini berkurangan kepada 353 orang daripada 107 keluarga berbanding 356 orang pagi tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Bencana Daerah Sabak Bernam berkata kesemua mereka ditempatkan di Dewan Sri Bernam, Sungai Besar; Dewan Parit Baru, Sungai Air Tawar dan Dewan Seri Nakhoda, Bagan Nakhoda Omar.
Katanya jumlah mangsa banjir di Dewan Sri Bernam berkurang kepada 160 orang daripada 47 berikutan tiga sekeluarga menerima pelawaan Ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk berpindah ke Sekin Resort miliknya di Sekinchan pagi ini.
Sementara jumlah mangsa di Dewan Parit Baru sebanyak 164 orang daripada 52 keluarga dan di Dewan Sri Nakhoda sebanyak 29 orang daripada lapan keluarga.
Semalam, Jamal menawarkan kepada mangsa banjir di Dewan Sri Bernam untuk menginap di resortnya sehingga air surut atas rasa prihatin dengan nasib penduduk di situ.
- Bernama

