Kerajaan dan pihak polis memfailkan rayuan ke atas ganti rugi am sebanyak RM200,000 yang diberikan kepada keluarga pemandu lori P Chandran, yang meninggal dunia semasa dalam tahanan polis di Balai Polis Dang Wangi, lebih empat tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan polis dan kerajaan membayar RM357,000 sebagai ganti rugi.

Bagaimanapun, kerajaan mengaku liabiliti dengan tidak merayu untuk ganti rugi lain yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi iaitu RM3,500 bagi ganti rugi khas, RM10,000 bagi bayaran perkabungan dan RM144,000 kerana hilang tempat bergantung.

Peguam keluarga itu M Visvanathan mengesahkan rayuan itu telah difailkan ketika dihubungi Malaysiakini.

"Kami menerima surat bertarikh 20 Januari, mengesahkan rayuan terhadap ganti rugi am yang diberikan," kata Visvanathan.

Pada 9 Januari tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi S Nantha Balan memutuskan bahawa polis dan kerajaan bertindak cuai dengan tidak menghantar Chandran ke hospital dan mengabaikan tanggungjawa untuk menjaga lelaki itu.

"Pada pandangan saya, jika pihak polis dan anggota yang meronda serta mereka yang memantau CCTV di IPD Dang Wangi menjalankan tugas mereka, tentulah mereka akan mendapati bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan si mati, terutama pada awal pagi 10 September 2012.

"Mereka sepatutnya campur tangan dan hantar si mati ke hospital tetapi ternyata bahawa setiap mereka yang bertanggungjawab menjaga tahanan mengikut Peraturan Lokap 1953, mengabaikan tanggungjawab dan membasuh tangan mereka dalam perkara ini," katanya.

Chandran, yang ketika itu berusia 47 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung apabila pihak polis tidak memberi atau membenarkan perubatan yang berkaitan dengan kesihatannya.

Inkues kematiannya yang dijalankan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendapati bahawa pihak polis hanya menyedari kematian Chandran 12 jam selepas beliau meninggal dunia di lokap Dang Wangi.

[Baca berita penuh]