Aliran trafik perlahan di beberapa lebuh raya utama petang ini
Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan setakat pukul 5 petang ini berikutan ramai yang bercuti sempena sambutan Tahun Baru Cina esok.
Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata aliran trafik ke utara dan selatan dilapor perlahan iaitu dari Nilai ke Seremban dan Senawang ke Pedas Linggi berikutan peningkatan jumlah kenderaan.
"Trafik juga perlahan di Slim River ke Sungkai dan dari Tapah menuju ke Gopeng," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Selain itu, aliran trafik turut bergerak perlahan dari Kuala Kangsar ke Bukit Berapit disebabkan aliran trafik yang tinggi.
Sementara itu, Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) turut dilaporkan perlahan petang ini iaitu sebelum Plaza Tol Gombak menuju ke arah Pantai Timur.
"Aliran trafik juga bergerak perlahan di sekitar Plaza Tol Bentong, Plaza Tol Karak, dan di kawasan Bukit Tinggi ke Lentang," katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.
- Bernama

