Seramai 39 keluarga orang kurang upaya (OKU) yang tinggal di Flat Pekeliling kecewa dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang gagal memberikan mereka rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di tingkat lima ke bawah seperti yang dijanjikan.

Wakil mereka, Mat Razip Mat Isa berkata, kini sebahagian orang kurang upaya yang sudah membuat cabutan untuk mendapat rumah PPR, mendapat rumah tingkat 15 hingga 18 dan ini menyusahkan mereka.

"Sebelum ini, Pengarah Bahagian Perumahan DBKL, Aziz Salleh berjanji, orang kurang upaya tidak perlu menghadiri cabutan undi dan mereka dijamin ditempatkan di tingkat satu, dua atau tiga PPR Seri Rampai," katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mendakwa, pengumuman tersebut dibuat oleh Aziz semasa majlis dialog dengan penduduk yang diadakan di dewan serbaguna Flat Pekeliling pada 15 Mei lalu.

Bagaimanapun, katanya, orang kurang upaya dari Blok A dan B, masih diminta mencabut undi rumah masing-masing pada 24 Mei di tempat sama.

"Berikutan itu, ada beberapa keluarga mendapat kunci rumah di tingkat 15, 16 dan 18 PPR Seri Rampai. Ini sama sekali bertentangan dengan janji DBKL yang memberi jaminan mereka akan diberikan rumah di tingkat satu, dua dan tiga," katanya.

Mat Razip berkata, Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Astaman Aziz meminta orang kurang upaya menulis surat rayuan kepada DBKL tetapi sehingga hari ini mereka belum menerima sebarang jawapan.

Masalah angkut barang

Katanya, permintaan orang kurang upaya supaya DBKL menyediakan pengangkutan untuk mengangkut barangan mereka untuk berpindah ke Seri Rampai juga belum dijawab.

"Kami merayu supaya ditempatkan di tingkat bawah kerana banyak masalah akan dihadapi oleh orang kurang upaya jika diberi tingkat atas, terutama keselamatan jika berlaku kebakaran atau kecemasan.

"Memang benar rumah PPR ada kemudahan lif tetapi kami tetap memerlukan pertolongan orang lain. Orang buta tidak nampak untuk menekan butang lift, orang kerdil tidak sampai nak tekan butang dan begitu juga dengan orang cacat yang berkerusi roda," katanya.

Menurut Mat Razip lagi, di Flat Pekeliling, orang kurang upaya ditempatkan di tingkat lima ke bawah dan ini memudahkan mereka berurusan kerana mereka bekerja sendiri, seperti membaiki telefon bimbit, tukang jahit dan membaiki televisyen.

Seorang penyewa buta Sahmar Saat mendakwa beliau diberi kunci rumah di tingkat 11, Blok J, PPR Seri Rampai semasa majlis cabutan undi yang diadakan pada 12 Jun lalu.

"Dulu dijanjikan rumah tingkat lima tetapi kini tingkat 11. Banyak masalah yang keluarga kami akan hadapi, terutama jika lift rosak," katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah menemui beberapa pegawai DBKL tetapi sehingga kini mereka tidak membuat apa-apa tindakan untuk membantu orang kurang upaya mengatasi masalah tersebut .