Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Tarikh 2 Februari ini amat penting kepada politik negara. Kata kawan-kawan, inilah hari pertemuan yang akan menentukan sama ada PAS akan bekerjasama atau tidak dengan BERATU dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.

Saya pun sebenarnya tidaklah mengetahui apa bentuk kerjasama yang akan dibincangkan oleh BERSATU dan PAS nanti, tetapi saya harap mereka beritahulah kepada orang ramai perkara utama perbincangan mereka, dan sama ada berjaya atau tidak dalam usaha itu.

Sudah tentunya, AMANAH dan DAP tidak termasuk dalam perbincangan itu. PAS menggangap AMANAH dan DAP sebagai musuh yang tidak boleh dimaafkan.

Bagi mereka Tun Dr Mahathir Mohamad pun tidak berguna langsung, malah mereka mahu bekas perdana menteri itu bertaubat terlebih dahulu. Inilah sikap sombong ulama-ulama PAS.

Nampaknya BERSATU rela ketua mereka diperhina sebegitu rupa, semata-mata kerana mahu “satu lawan satu” menjadi kenyataan.

Apa maksud “satu lawan satu?” Bagi BERSATU mereka mahu kerusi-kerusi yang mereka tandingi tidak disertai PAS, manakala BERSATU pula tidak akan meletakkan calon di kerusi ditandingi PAS.

BERSATU parti baru, dan untuk memenuhi janji mereka kepada orang Melayu, maka mereka mestilah bertanding di kerusi-kerusi Umno.

Jika tidak, sia-sialah

Jadi, kita tunggulah sejauh mana PAS akan memberi laluan kepada BERSATU di 60 kerusi yang mereka tandingi pada PRU ke-13 dahulu.

PKR juga mestilah memberi laluan kepada BERSATU di kerusi-kerusi yang mereka bertanding melawan Umno, kerana kalau tidak, tidak ada ertinya usaha “satu lawan satu” yang diidamkan itu.

Tidak ada erti juga kerjasama dengan PAS yang giat diusahakan selama ini. AMANAH pun mestilah sanggup memberi laluan kepada BERSATU di semua kerusi pilihan BERSATU untuk bertanding. Jika tidak, sia-sialah jugalah usaha mewujudkan kerjasama dengan PAS itu.

Ringkasnya BERSATU mahu PAS, AMANAH dan PKR memberi laluan kepada mereka untuk berlawan dengan Umno mengikut formula “satu lawan satu” di kerusi yang mereka tandingi nanti, termasuk sejumlah kerusi yang akan PAS "hadiahkan” kepada mereka.

Saya tidak nampak BERSATU mampu untuk memastikan PAS tidak meletakkan calon mereka di kerusi ditandingi AMANAH, DAP dan PKR.

Dengan lain perkataan, BERSATU rela kerusi AMANAH, DAP dan PKR ditandingi oleh PAS dan Umno.

Maknanya, bagi BERSATU, tidak mengapa berlaku pertandingan tiga penjuru di kerusi-kerusi Pakatan Harapan, asalkan kerusi BERSATU kekal “satu lawan satu”.

Inilah percaturan politik yang sukar saya fahami, tetapi biarlah kita semua tunggu kebolehan luar biasa pimpinan BERSATU dan PAS mencari penyelesaian tersebut


DATUK ZAID IBRAHIM seorang peguam dan bekas anggota parlimen, senator dan menteri. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiakini

Lihat Komen
ADS