Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Banjir Johor makin pulih, tapi 5 jalan masih putus
Diterbitkan:  Jan 31, 2017 10:26 AM
Dikemaskini: 2:29 AM

Jumlah mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan di Johor terus berkurangan kepada 1,390 orang pada 8 pagi ini berbanding 1,473 orang, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata kesemua mereka terdiri daripada 384 keluarga yang masih ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah yang terjejas iaitu Segamat, Tangkak dan Muar.

Beliau berkata daripada 70 PPS di Segamat, 53 pusat telah ditutup manakala hanya satu PPS dibuka di Tangkak berbanding 15 pusat sebelum ini, lapor Bernama.

Sehingga kini, masih terdapat 982 mangsa daripada 264 keluarga di PPS Segamat dan 25 mangsa daripada enam keluarga di PPS Tangkak.

"Di Muar, terdapat 383 mangsa daripada 114 keluarga masih ditempatkan di empat PPS," kata beliau dalam kenyataan di Johor Bahru hari ini.

Selain itu, lima jalan masih terputus hubungan meliputi Jalan Pogoh-Tekam dan Jalan Balai Badang-Mensudut Lama di Segamat; Jambatan Jalan Kampung Sungai Pinggan di Pontian manakala di Muar pula jalan yang terlibat ialah KM61 Jalan Muar-Labis serta Jalan Pagoh Tekam.

Jumlah mangsa di Perak kekal

Sementara itu, di Perak pula jumlah mangsa banjir setakat 8 pagi ini kekal seperti semalam iaitu 407 orang yang masih berada di PPS.

Menurut info Portal Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, seramai 182 mangsa adalah di daerah Hilir Perak dengan 97 daripadanya berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kerawai, manakala 85 lagi menghuni PPS di SK Changkat Jong Batu 8.

Sementara itu, di daerah Manjung seramai 208 mangsa banjir ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai.

Bagi daerah Larut, Matang dan Selama, jumlah mangsa di PPS Surau Padang Serai Dalam kekal 21 orang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS