Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Anggota parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad hari ini akan memfailkan saman terhadap sebuah portal berita yang didakwa memfitnahnya.

Menurut wakil rakyat Parti Amanah Negara (AMANAH), peguamnya akan memfailkan saman berkenaan pada hari ini.

Ia ekoran berita yang ditulis portal berkenaan bertarikh 7 Januari lalu bertajuk “Wakil rakyat PAN (AMANAH) cuti mewah di UK abai mangsa bah”.

"Kita akan terus buat tindakan undang-undang. Writ saman akan difailkan hari ini," katanya pada sidang media di Wisma AMANAH di ibu negara hari ini.

Beliau diwakili barisan peguam yang diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin.

Sementara itu, seorang lagi peguam Raja Kamarul Bahrin, Nadzratun Naim Hammad Azizi berkata, pihaknya telah menghantar notis tuntutan kepada portal berita berkenaan agar memohon maaf.

Namun, katanya, syarikat itu menafikan sebarang kaitan dengan portal berita itu.

"Kita buat semakan di SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia), syarikat ini memiliki portal berkenaan.

"Kita ada hantar notis tuntutan sebelum ini kepada syarikat yang didakwa memiliki portal berita itu tetapi syarikat itu menjawab, menafikan sebarang pengetahuan atau kaitan dengan portal berita itu.

"Jadi kita akan terus dengan tindakan undang-undang," kata Nadzratun.

Raja Kamarul mempertikaikan penggunaan perkataan “mewah” dalam berita itu memandangkan beliau ke United Kingdom atas urusan kerja bersama pemimpin AMANAH lain dan menggunakan pesawat komersial.

Beliau menjelaskan, dakwaan tidak kelihatan di Kuala Terengganu ketika negeri berkenaan banjir juga tidak benar memandangkan beliau telah mula memberi bantuan kepada mangsa pada 28 Disember.

Malaysiakini sudah menghubungi portal berita itu sebelum ini tetapi gagal mendapatkan sebarang reaksi.

Lihat Komen
ADS