Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Armada BERSATU puji MARA gantung jawatan Annuar
Diterbitkan:  Jan 31, 2017 3:21 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tindakan Majlis Amanah Raya (MARA) menggantung tugas pengerusinya menunjukkan bahawa agensi tersebut tidak memandang ringan kes melibatkan Tan Sri Annuar Musa.

Justeru, Syed Saddiq berharap agar tiada pihak yang cuba merosakkan tujuan murni penubuhan MARA yang bertindak sebagai membantu anak-anak Melayu yang tidak bernasib baik.

"Ini jelas menunjukkan bahawa pegawai-pegawai MARA tidak mengambil kes ini secara ringan.

"MARA ditubuhkan dengan tujuan untuk membantu anak-anak Melayu yang tidak bernasib baik. Jangan sesekali membenarkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab merosakkan tujuan murni ini daripada tercapai demi kepentingan peribadi pihak pihak tertentu," katanya dalam kenyataan.

Annuar telah digantung tugas sebagai pengerusi MARA yang berkuatkuasa serta merta hari ini.

Selain pengerusi MARA, jawatan Annuar yang turut digantung ialah pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB).

Kesemua tugas Annuar di agensi berkenaan kini dipangku Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob.

Selain itu, Syed Saddiq turut mempersoalkan perkembangan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis ekoran penggantungan tugas Annuar.

"Siasatan daripada peringkat dalam telah pun bermula lalu memutuskan penggantungan terhadap Tan Sri Annuar Musa.

"Bagaimana pula perkembangan terkini daripada pihak SPRM dan PDRM diatas laporan polis yang telahpun dibuat supaya kes ini disiasat," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS