Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang menafikan dakwaan mengenai kumpulan tarian singa enggan beraksi di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri semasa sambutan rumah terbuka tahun baru Cina anjuran parti itu di Kuala Lumpur, hujung minggu lalu.

Dalam catatan di Facebook, Tan menjelaskan para penari tarian singa itu kelihatan tunduk kaku sehingga mencetuskan spekulasi itu sedangkan mereka sedang mengupas limau bali dan beberapa oren untuk perdana menteri dan isteri selaku tetamu kehormat.

Tan merujuk kepada klip video berdurasi 45 saat yang tersebar luas di media sosial menunjukkan penari tarian singa itu berlutut dan tidak bergerak untuk beberapa saat, ketika persembahan itu ditonton oleh Najib dan isterinya.

Turut menonton persembahan itu ialah Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong dan lain-lain tetamu lain.

"Penari tarian singa itu sebenarnya sedang mengupas limau bali dan beberapa biji buah limau untuk perdana menteri...sedikit masa diperlukan untuk melakukannya.

"Tiada seorang pun daripada mereka adalah 'superman'. Saya terfikir jika sesiapa boleh mengupas sebiji limau bali dan beberapa biji limau dalam masa kurang dari 30 saat (dengan atau tanpa kepala singa)," kata Tan di laman Facebooknya.

Tambah Tan, adalah menjadi sebahagian daripada tradisi sambutan tahun baru Cina dengan penari berkenaan akan mempersembahkan limau bali dan oren kepada tetamu khas yang melambangkan kemakmuran.

"Malang apabila beberapa orang yang tidak bertanggungjawab memilih untuk memutar-belit dan melakukan pembohongan terhadap penari singa profesional yang telah memberikan persembahan yang hebat," jelas beliau.

Kata Tan lagi, Najib juga telah memuji persembahan tersebut di akaun Facebooknya.

[Baca berita penuh]