Berita Malaysiakini

Jawatan Annuar dalam Umno tak berbangkit, kata Ku Nan

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kedudukan Tan Sri Annuar Musa selaku Ketua Penerangan Umno selepas penggantungannya sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) terserah kepada keputusan presiden parti.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, jawatan Annuar itu adalah lantikan presiden Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Jawatan beliau dalam Umno dilantik presiden dan penggantungan Tan Sri Annuar adalah dalam agensi kerajaan.

"Tidak berbangkit jawatannya dalam Umno, tetapi ia terpulang kepada pandangan presiden," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

MARA hari ini menggantung tugas anggota Parlimen Ketereh sebagai pengerusi agensi itu dan pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan sebulat suara itu dicapai dalam satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Ahli Majlis MARA Datuk Dr Yusof Yacob di ibu pejabat agensi itu.

Ia membolehkan audit dalaman MARA menyiasat beberapa perkara mengenai agensi tersebut termasuk penajaan PMB dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Tengku Adnan berkata penggantungan itu juga sebagai prosedur siasatan dan belum terbukti Annuar melakukan kesalahan.

"Sebagai Ketua Penerangan Umno, beliau bekerja dengan kuat dan melaksanakan tugas dengan baik, tidak ada masalah," katanya.

- Bernama