Syed Ali: HARAPAN bak keluarga songsang
Ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee melihat PAS tidak tidak akan menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN) kerana gabungan itu seperti "keluarga songsang".
Kata beliau parti-parti pembangkang ketika ini tidak mempunyai persefahaman berkaitan kerjasama politik dan pembahagian kerusi menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.
“PAS barangkali berasakan diri mereka tidak perlu untuk dijadikan perkakas oleh DAP untuk kali kedua,” kata Syed Ali melalui kemas kini terbaru blognya hari ini.
Jelasnya, HARAPAN juga membabitkan parti rasis seperti DAP. Justeru, katanya, persefahaman antara parti itu dan PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) dilihat tidak terjalin atas semangat keikhlasan.
Selain itu kata Syed Ali, "keluarga songsang" seperti HARAPAN itu hanya ingin menonjolkan diri masing-masing sebagai jaguh mewakili kaum dan kumpulan tertentu.
“Mereka masih bercakaran, bertelagah dan bertikam lidah sesama sendiri untuk memutuskan persefahaman yang ternyata amat sukar dibentuk menjelang PRU akan datang,” katanya.
Justeru katanya PAS mengambil pendirian tegas untuk tidak menyertai keluarga songsang Pakatan Harapan kerana parti itu tidak yakini dengan ketelusan blok pembangkang.
Syed Ali turut mempersoalkan bagaimana keluarga songsang seperti itu mampu mentadbir negara dengan baik jika diberikan peluang memenangi PRU akan datang.
“Rumah tangga mereka pun berantakan dan tidak kukuh, inikan pula untuk mentadbir negara,” katanya.
Katanya lagi, pemimpin dalam HARAPAN sejak dari awal lagi sudah mempunyai bayangan untuk menduduki kerusi perdana menteri dan timbalan perdana menteri.
Malah tambah Syed Ali lagi, pembahagian kerusi pilihan raya membabitkan kawasan parlimen dan dewan undangan negeri juga mencetuskan perbalahan di kalangan mereka.
“Inilah antara percakaran dalam Pakatan Harapan yang langsung tidak konsisten untuk membela rakyat, hanya memikirkan jawatan dan agenda masing-masing,” katanya.

