Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan Tan Sri Annuar Musa tidak dipanggil hadir dalam mesyuarat pegawai atasan Majlis Amanah Rakyat (MARA) pagi tadi bagi mengelak ia akan akan mempengaruhi siasatan dalaman.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Annuar selaku pengerusi badan itu kini disiasat oleh Jawatankuasa Audit MARA.

“Tindakan penggantungan sementara dibuat berdasarkan kedudukan beliau yang sedang disiasat oleh jawatankuasa audit dan sebagai pengerusi, (dibimbangi) akan mempengaruhi siasatan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Annuar yang juga ketua penerangan Umno digantung tugasnya oleh MARA mulai hari ini selepas pegawai tertinggi agensi itu mengadakan mesyuarat tergempar pagi tadi.

Anggota parlimen Ketereh itu kini berada di New Zealand kerana menjalankan urusan rasmi dan sudah dimaklumkan berkenaan keputusan MARA itu.

Katanya, beliau menerima keputusan berkenaan dengan berlapang dada dan bertanggungjawab.

Ismail Sabri yang juga menteri kemajuan luar bandar dan wilayah berkata mesyuarat pagi tadi turut dihadiri semua ahli, termasuk wakil kementerian kewangan dan unit perancangan ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, mesyuarat khas itu berlangsung ekoran permohonan semua Ahli Majlis MARA dan ditandatangani oleh semua anggota majlis berkenaan, termasuk wakil kerajaan.

Kata Ismail Sabri, penggantungan Annuar bersifat sementara bagi membolehkan siasatan jawatankuasa audit dalaman selesai.

Menurut beliau, penasihat undang-undang MARA memaklumkannya, agensi itu berkuasa penuh untuk menggantung jawatan pegawainya sementara menunggu siasatan dalaman diselesaikan.

Tambahan pula, katanya, keputusan itu tidak melibatkan sebarang pelantikan atau pemecatan - suatu proses yang mesti mendapat persetujuan perdana menteri.

“Ia adalah prosedur biasa untuk seseorang yang disiasat digantung tugas sementara,” katanya.

Ismail Sabri turut berharap supaya siasatan dalaman itu dapat diselesaikan dengan segera bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada MARA.

"Saya menghormati keputusan Majlis MARA yang ingin menyelesaikan isu melibatkan agensi itu dan anak syarikatnya secara tuntas," katanya.