Balu Adenan, Jamilah calon BN bagi PRK Tanjong Datu
Balu kepada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Puan Sri Jamilah Anu diumumkan sebagai calon BN untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Tanjong Datu.
Pencalonan beliau diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg di Kuching sebentar tadi.
Jamilah, ibu berusia 62 tahun merupakan ahli aktif PBB dan telah membantu arwah Adenan semasa berkhidmat sebagai ADUN Tanjong Datu dan Muara Tuang sebelum itu.
Kekosongan bagi kerusi DUN Tanjong Datu berlaku setelah arwah Adenan meninggal dunia pada awal bulan ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon bagi 4 Februari ini dengan tempat pengundian pada 18 Februari.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Abang Johari memberitahu, pencalonan Jamilah telah dipersetujui oleh Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada pilihan raya negeri ke-11 yang lalu, arwah Adenan mempertahankan kerusi Tanjung Datu yang disandangnya sejak tahun 2006 dengan majoriti 5,892 undi bagi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jazolkipli Numan.

