Sebanyak 14 borang pencalonan bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu telah dibeli setakat hari ini, kata Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak Datuk Takun Sunggah.

Beliau berkata borang berkenaan dibeli oleh tujuh individu termasuk wakil daripada Barisan Nasional (BN) menjelang hari penamaan calon Sabtu ini.

"Tujuh individu itu masing-masing membeli dua set, menjadikan jumlah 14 set borang telah dibeli," katanya ketika dihubungi Bernama petang ini.

PRK DUN Tanjong Datu diadakan berikutan kematian penyandangnya, yang juga ketua menteri kelima Sarawak Tan Sri Adenan Satem akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lepas.

Dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-11 Mei tahun lepas, Adenan, 72, mendapat 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi.

Takun berkata sebanyak 250 kakitangan SPR akan terlibat dalam PRK DUN Tanjong Datu itu nanti.

SPR menetapkan 12 Februari bagi pengundian awal dan 18 Februari bagi pengundian sekiranya ada pertandingan.

Sementara itu, -pusat penamaan calon bagi PRK DUN Tanjong Datu akan dibuka jam 9 pagi Sabtu ini, di Dewan Masyarakat Lundu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata proses penamaan calon akan berlangsung selama sejam sehingga 10 pagi.

Selepas sahaja urusan proses penamaan calon selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding, katanya.

"Tempoh rasmi kempen pilihan raya hanya bermula selepas pegawai pengurus pilihan raya mengisytiharkannya Sabtu ini dan kempen akan berakhir pada pukul 12 tengah malam 17 Februari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengikut peraturan SPR, jika hanya seorang sahaja calon yang layak maka pengawai pengurus pilihan raya akan mengumumkan calon tersebut menang tanpa bertanding.

Pada Rabu lepas, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah menamakan balu Allahyarham, Adenan, Puan Sri Jamilah Anu sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Hashim turut mengingkatkan penyokong calon supaya tidak berkumpul dalam jumlah yang ramai di pusat penamaam calon pada hari berkenaan.

Katanya, calon boleh membayar deposit pilihan raya sebanyak RM5,000 melalui bank draf atau tunai dan seseorang calon boleh menggunakan simbol parti jika mendapat kebenaran bertulis daripada pegawai yang bertanggungjawab membenarkan penggunaan simbol sesuatu parti berkenaan.

DUN Tanjong Datu mempunyai 9,959 pemilih berdaftar iaitu 9,771 pengundi biasa dan 188 pengundi awal.

- Bernama