Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kebelakangan ini menerima banyak maklumat terdapat individu menyamar sebagai pegawainya dan meminta wang untuk menyelesaikan kes.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Azam Baki berkata mereka mendakwa boleh menyelesaikan kes, perbicaraan mahkamah serta membersihkan nama daripada senarai siasatan.

“SPRM telah mengenalpasti beberapa individu yang terlibat dalam perbuatan tidak beretika itu yang boleh menjejaskan imej SPRM.

“Sementara itu, jika mana-mana individu yang terlibat gagal melaporkan perkara tersebut kepada SPRM, tindakan akan diambil ke atas mereka atas kesalahan bersubahat,” katanya.

Pendedahan itu dibuat ketika badan itu sedang bertindak terhadap beberapa kes yang mencuri perhatian umum, antaranya yang melibatkan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa, bekas pembantu Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan dua pegawai kanan Felda.

Dalam kenyataan hari ini, suruhanjaya itu menegaskan tidak akan berkompromi dengan individu yang menyalahgunakan nama pegawai-pegawai SPRM bagi kepentingan sendiri.

SPRM juga berharap agar orang ramai tidak terpedaya dengan dakwaan seperti itu dan menghubungi mereka terlebih dahulu untuk pengesahan.