Saidin: Kerjaya politik saya sudah berakhir
Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Saidin Tamby menjelaskan beliau tidak bercadang untuk kembali aktif dalam politik pada masa akan datang.
Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Saidin Tamby menjelaskan beliau tidak bercadang untuk kembali aktif dalam politik pada masa akan datang.
"Saya sudah 70 tahun, sudah tua dan saya tidak berminat lagi dengan politik. Cukuplah penglibatan saya hampir setengah abad dalam politik Umno," katanya.
Beliau berkata, kerjaya politiknya sudah berakhir apabila beliau melepaskan jawatan sebagai ketua Umno Bahagian Selayang dan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor pada tahun 1998.
Saidin berkata demikian sebagai mengulas dakwaan beberapa ahli Umno Bahagian Selayang yang mengatakan beliau mahu kembali aktif dalam politik Umno Selayang tidak lama lagi.
Dalam mesyuarat tahunan Umno Bahagian Selayang di Perangsang Templer Park yang diadakan pada 15 Mei lalu, Saidin dikatakan masih memainkan peranan melalui beberapa orangnya di bahagian tersebut.
Menurutnya, zaman beliau dalam politik di Selayang sudah berlalu dan biarlah pemimpin muda menerajui bahagian tersebut.
"Saya tidak bermusuh dengan ketua bahagian sekarang, Datuk Ahmad Bhari Abdul Rahman, malah saya menyokong kepimpinan beliau," katanya yang menjadi Ketua Umno Bahagian Selayang sejak tahun 1980.
Letak jawatan pada 1998
Saidin berkata, beliau mula menjadi ahli Umno pada 1957 melalui satu cawangan dalam bahagian Gombak dan tujuh tahun selepas itu beliau dilantik sebagai Setiausaha Pemuda Umno Selangor sehingga tahun 1974.
Pada tahun sama, beliau dilantik sebagai Setiausaha Pemuda Umno Malaysia dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras pada 1982 dan menjadi Exco Kemudahan Asas selama sepenggal pada 1987.
Bagaimanapun, beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Gombak pada 1998 setelah mahkamah mendapati beliau bersalah dalam satu kes salahguna kuasa. Kes tersebut masih dalam peringkat rayuan.
Kini Saidin menjadi Pengerusi Konsortium Melayu Selayang Berhad yang terbabit dengan projek pembangunan hartanah di Selangor.
Beliau juga menjadi Pengerusi Yayasan Ummi, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dengan aktiviti untuk meningkatkan pendidikan di kalangan orang-orang Melayu.
"Pada tahun 80-an Yayasan Ummi mendapat tanah dari Kerajaan Selangor sebanyak 96 ekar dan dimajukan oleh Gombak Land Berhad dengan pembangunan yang sekarang dikenali sebagai Selayang Mulia," katanya.
Saidin menjelaskan, pihaknya tidak menjual tanah tersebut kepada pihak lain cuma membenarkan Gombak Land memajukannya memandangkan mereka mempunyai kemahiran dan pengalaman serta modal besar.
Katanya, dengan cara itu Yayasan Ummi mendapat keuntungan untuk meneruskan aktiviti membantu orang Melayu terutama dalam bidang pendidikan.

