Polis telah merakam kenyataan bekas perogol bersiri, S Selva Kumar sejurus dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pagi ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Kenyataannya lelaki berusia 56 tahun itu telahpun memberi keterangan kepada pegawai polis di Balai Polis KLIA dan pihaknya akan memantau pergerakannya semasa berada di negara ini, katanya kepada Bernama.

Bekas perogol bersiri yang telah meringkuk 24 tahun di penjara atas pelbagai jenayah seks dan peras ugut terhadap beratus-ratus wanita, tiba di negara ini pada jam 7.30 pagi selepas lebih tiga dekad di Kanada.

Ditanya adakah Selva Kumar bebas untuk menetap di mana-mana tempat di Malaysia kecuali di Sabah, Khalid berkata 'ya' semasa menjawab pertanyaan Bernama melalui aplikasi WhatsApp.

Kerajaan Sabah hari ini mengharamkan Selva Kumar daripada memasuki negeri berkenaan kerana dikhuatiri boleh mendatangkan ancaman kepada orang awam khususnya wanita dan kanak-kanak.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyifatkan bekas banduan itu sebagai "individu berisiko tinggi," dan berkata bahawa kerajaan negeri memutuskan untuk mengisytiharkannya sebagai persona non grata kerana boleh menimbulkan bahaya kepada orang ramai, terutama wanita dan kanak-kanak.

"Kami tidak boleh mengambil risiko membiarkan individu yang berpotensi mendatangkan bahaya bergerak secara bebas.

“Kami perlu melindungi rakyat kami," kata Musa dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, arahan untuk menghalang Selva Kumar itu telah dikeluarkan kepada Jabatan Imigresen negeri dan akan dikuatkuasakan dengan serta-merta.

Sabah dan Sarawak mempunyai hak imigresen, seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Mengulas lanjut, ketua polis negara berkata, sebagai bekas banduan yang telah bebas, Selva Kumar, yang berasal dari Pulau Pinang, tidak perlu melapor diri di mana-mana balai polis dan dia bebas untuk bergerak seperti rakyat lain.

Katanya, pihaknya telah memaklumkan kepulangan Selva Kumar kepada pihak berkuasa Kanada.

Pagi tadi portal FMT melaporkan, Selva Kumar diiringi tiga pegawai polis Kanada dan disambut abangnya.

Sebaik tiba, beliau dibawa ke Pusat Operasi Imigresen KLIA untuk direkodkan keterangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.

“Dia akan berada di Kuala Lumpur dan tidak pulang ke Pulau Pinang seperti diperkatakan sebelum ini,” kata seorang kenalan rapat dengan ahli keluarga itu ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarangsa Kuala Lumpur (KLIA)pagi ini.

FMT turut melaporkan bekas banduan itu dikawal rapat sehingga ke rumahnya di Kuala Lumpur.

Selva Kumar tiba pada jam 7.30 pagi tadi dengan pesawat Qatar Air QR0488 dari Doha, selepas melakukan pertukaran penerbangan dari Toronto, Kanada.

Lelaki itu dilaporkan berasal dari Bukit Mertajam di Pulau Pinang sebelum berhijrah ke Kanada untuk melanjutkan pelajaran.

Pada 1992, mahkamah Kanada menjatuhkan hukuman 24 tahun ke atasnya selepas didapati bersalah atas 19 tuduhan serangan seksual, 28 pertuduhan penggunaan bahan larangan seperti dadah, dan 10 pertuduhan pelbagai serangan dan kesalahan lain.