Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rayuan JAWI ke atas Kassim Ahmad ditangguh ke 7 Mac

Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan permohonan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan kerajaan untuk mengubah keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada tokoh akademik Kassim Ahmad kepada 7 Mac depan.

Permohonan itu kini akan didengar di hadapan panel berbeza.

Ini adalah selepas salah seorang hakim dalam panel berkenan, hakim Mahlamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali memutuskan untuk menarik diri.

Beliau menjelaskan bahawa isterinya Hakim Datuk Zaleha Yusof, yang ketika itu adalah hakim di Mahkamah Tinggi memutuskan untuk menolak permohonan semakan kehakiman yang dibuat oleh ahli akademik yang berusia 84 tahun tersebut.

Zaleha, kini adalah Hakim di Mahkamah Rayuan.

Peguam Kanan Persekutuan Maisarah Jauhari yang mewakili Jamil, ketua pendakwa JAWI dan kerajaan, memberitahu mahkamah bahawa beliau perlu mendapatkan arahan lanjut daripada pegawai atasannya berhubung perkara itu.

Ini di sebalik, keputusan peguam Kassim, yang diketuai oleh Rosli Dahlan menyatakan bahawa beliau tidak membantah Hakim Ramly menjadi sebahagian daripada panel itu.

Berikutan itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Hakim Tan Sri Ahmad Ma'arop yang mengetuai panel itu bersama-sama dengan Hakim Datuk Aziah Ali memutuskan untuk menangguhkan kes di hadapan panel lain pada 7 Mac ini.

Pada 21 Disember 2015, panel Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa penangkapan dan pendakwaan terhadap Kassim adalah tidak sah dan terbatal serta bercanggah dengan undang-undang.

Panel hakim sebulat suara membenarkan rayuan Kassim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan ketua pendakwa syariah Wilayah Persekutuan mendakwa beliau di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa penangkapan Kassim pada 26 Mac 2014 di rumahnya di Taman Kulim Perdana, Kulim, Kedah adalah menyalahi undang-undang kerana ia bercanggah dengan Enakmen Syariah Kedah.

Menurut Mahkamah Rayuan, Kassim dibawa ke Pulau Pinang sebelum seterusnya dibawa ke Kuala Lumpur untuk dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya.

"Fatwa itu (berkaitan tuduhan) hanya terpakai bagi umat Islam yang tinggal di Wilayah Persekutuan; tidak dapat dipertikai bahawa perayu (Kassim) adalah seorang penduduk Kedah. Oleh kerana dia tidak ditangkap di Wilayah Persekutuan, maka dia tidak terikat dengan fatwa berkenaan," kata hakim.

Kassim, meminta dibicarakan terhadap tiga tuduhan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama Islam di Mahkamah Tinggi Syariah pada 27 Mac 2014.

Perbicaraan kes itu belum dimulakan kerana menunggu keputusan permohonan kebenaran untuk merayu.

Pada 6 Januari 2015, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Kassim bagi mendapatkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan JAWI mendakwanya di Mahkamah Tinggi Syariah.

Lihat Komen
ADS