BERITA Malaysiakini

Pemuda PAS kunjungi gereja, bincang isu kaum

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pemuda PAS semalam menziarahi sebuah gereja di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, yang antaranya membincangkan kegusaran mereka terhadap keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Dalam kunjungan ke Gereja St Anthony itu, rombongan diketuai Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz disambut oleh Ketua Biskop Julian Leow.

“Pihak Pemuda PAS juga mengambil peluang menerangkan mengenai gagasan BPMS (budaya politik matang sejahtera) yang dibawa oleh PAS sekarang ini,” kata Penolong Setiausaha 1 dewan itu Nurul Islam Mohamad Yusoff.

Ditanya sama ada perbincangan menyentuh berkaitan usaha PAS untuk meminda Akta Mahkamah Syariah, Nurul Izlam berkata ia tidak dibangkitkan.

"Tiada soalan daripada pihak gereja mengenai RUU355," katanya kepada Malaysiakini, merujuk kepada undang-undang yang turut dikenali sebagai Akta 355.

Dalam pertemuan itu, kata Nurul Islam, pihak gereja berkata jurang antara kaum semakin besar, berbeza dengan keadaan sebelum ini.

"(Dulu) anak Cina boleh main di rumah orang Melayu, anak orang Melayu boleh masuk ke rumah orang Cina. Sekarang dah tak begitu,” kata Nurul Islam, memetik pandangan paderi Leow.

Sementara itu, Nurul Islam juga berkata perbincangan berakhir dengan persetujuan untuk menganjurkan program bersama.

Rombongan PAS juga dibawa melawat sekitar gereja yang menempatkan gereja, sekolah menengah, pejabat, asrama dan rumah paderi.