Kurang empat jam selepas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan keputusannya secara rasmi menyertai DAP, pemimpin dan media arus perdana serta portal milik Umno mula menjadikannya sebagai sasaran.

Portal Berita Harian Online, memetik Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Sohaimi Shahadan, sebagai berkata, penyertaan Zaid ke dalam DAP hanya untuk menarik sokongan orang Melayu terhadap parti itu.

Katanya, langkah itu juga bertujuan bagi DAP mengaburi mata rakyat serta menghilangkan ketakutan khususnya orang Melayu terhadap parti berkenaan.

"DAP kini berdepan dengan krisis keyakinan sokongan orang Melayu. Keputusan PAS enggan kembali bersama parti itu adalah tamparan cukup hebat buat DAP dalam usaha meraih sokongan orang Melayu.

"Ditambah lagi dengan kegagalan Parti Amanah Negara memainkan peranan dalam menarik undi Melayu, maka membawa masuk tokoh Melayu adalah satu pendekatan munasabah untuk mengurangkan sedikit ketakutan pengundi Melayu terhadap DAP," katanya.

Menurut Sohaimi, keputusan Zaid menyertai DAP juga bukan kerana asas perjuangannya yang kukuh, sebaliknya DAP terdesak untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) yang semakin hampir.

Zaid pada sidang akhbar pengumumannya hari ini diapit oleh pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai, pemimpin supremo DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini adalah penyertaan ketiga Zaid dalam parti politik sejak meninggalkan Umno pada 2008.

Apa yang hebat?

Beliau pernah menyertai PKR pada Jun 2009 tetapi meninggalkan parti itu pada November 2010 atas alasan tidak berpuas hati dengan penipuan dan pembelian undi dalam pemilihan parti yang menyaksikan Datuk Seri Azmin Ali dipilih sebagai timbalan presiden.

Pada tahun yang sama, beliau mengambil-alih KITA dan menjadi presiden tetapi melepaskan jawatannya pada 2012.

Sementara itu, portal mesra Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Mykmu.net berkata tidak ada apa yang hebat berhubung keputusan Zaid menyertai DAP hari.

Dalam satu artikel, ia berkata ini adalah tindakan seorang lelaki menyertai DAP, dilihat dibawah permukaannya pun, ia adalah seorang lelaki memasuki DAP, malah dilihat dari pelbagai sudut yang berbeza sekalipun, ia tetap seorang lelaki memasuki DAP.

“Zaid saja pun, bukan tokoh politik terhebat ke tersohor di seantero dunia pun.

“Sebelum dia, Ibrahim Ali dah terlebih dulu berpindah-pindah parti sehingga dipanggil Ibrahim Katak,” kata portal itu.

Kata penulisnya, tidak nampak kemasukan itu mencatat sejarah sehngga bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi BERSATU perlu ada bersama.

“Seolah-olahnya kemasukan itu mencatat sejarah yang tidak pernah tercatat di mana-mana dalam sejarah politik negara sebelum ini sehingga Mahathir perlu dilihat di dalam peristiwa itu. Zaid masuk DAP pun, bukan masuk parti Mahathir.

“Ya, betullah ini kali pertama Zaid menyertai DAP setelah sebelum itu masuk Umno, PKR sehingga ke tahap menubuhkan parti sendiri pun masih tak berjumpa apa yang dicarinya dalam politik, tapi itu biasalah bagi orang politik berpindah-pindah parti.

“Banyak juga perempuan bersalin kali pertama tapi apa yang pelik dengannya?” sindir penulis itu lagi.