Rafizi Ramli memberitahu, rakyat memang sedar masalah melanda kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, namun mereka dijangka tetap akan memberi undi kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut naib presiden PKR itu, ada beberapa sebab mengapa orang ramai tidak yakin kepada kemampuan pembangkang membentuk kerajaan yang lebih baik berbanding apa yang ada sekarang.

Antaranya, kata anggota parlimen Pandan itu, ialah keadaan yang dialami pembangkang sendiri.

"Dengan segala masalah yang ada, 40 peratus Melayu masih lagi akan mengundi BN.

"Masalahnya ialah, bukannya orang Melayu ini tak faham Najib atau BN (ada masalah), tetapi pengundi Melayu tak yakin kita (pembangkang) boleh mentadbir dengan lebih baik atau tak mampu menawarkan sesuatu yang lebih baik," katanya.

Rafizi berkata demikian semasa berucap pada sidang 'Meja Bulat Selamatkan Malaysia' di Petaling Jaya hari ini.

Ia turut dihadiri pemimpin Pakatan Harapan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Selain itu, anggota parlimen Pandan itu turut mencadangkan agar pemimpin pembangkang dan NGO lebih menjiwai kehendak pengundi Melayu berbanding hanya 'bercakap' sahaja.

Katanya, dengan hanya mengulangi perkara yang sama ketika mengadakan pertemuan dengan pengundi Melayu, ia tidak mencukupi berbanding memberitahu penyelesaian yang dapat ditawarkan.

"Masalah kita, baik pembangkang, aktivis, NGO, orang bandar, orang berpengetahuan, kita tak memahami dan menjiwai bahawa pengundi Melayu memerlukan lebih dari sekadar bercakap.

"Mengulangi berkali-kali benda itu tak cukup. Mereka tahu Najib akan memusnahkan negara tetapi mereka tidak fikir kita (pembangkang) boleh lakukannya lebih baik (berbanding Najib).

"Kita kena cermin diri selepas ini, kita kena fikir bagaimana kita dapat dinilai sebagai satu gabungan politik, NGO, aktivis yang sebenarnya jujur dan benar-benar mahu membantu dan bukan bersifat mengambil peluang untuk ke Putrajaya.

"Rakyat mengundi bukan dengan minda mereka tetapi dengan hati mereka," kata Rafizi.