Berita Malaysiakini

Mayat bayi cukup sifat ditemui dalam tong sampah

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mayat bayi dipercayai baru dilahirkan ditemukan di dalam tong sampah di blok L Apartmen Permata, Bandar Perda di Bukit Mertajam hari ini.

Mayat bayi lelaki itu ditemui pekerja penyelenggaraan, Mahmud Manaf, 80, yang sedang mencari botol plastik untuk dikitar semula di kawasan itu kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Mahmud berkata beliau sedang mencari botol plastik sebelum ternampak plastik hitam berisi benda berat dan mencurigakan sebelum bertindak memeriksanya untuk melihat apa yang terdapat di dalamnya.

"Waktu itu saya sendirian dan ketika membuka plastik saya ternampak balutan kain batik sebelum memegang bawah kain berkenaan.

"Tangan saya merasa sesuatu seperti kepala manusia sebelum saya terus memanggil rakan bagi membuka melihat apa yang ada di dalam bungkusan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di Bukit Mertajam, hari ini.

Mahmud berkata sebaik membuka kain batik itu, mereka ternampak mayat bayi lelaki cukup sifat dan masih bertali pusat dalam bungkusan surat khabar yang diikat dengan seutas tali sebelum menghubungi polis.

Katanya bayi itu dipercayai baru dilahirkan hari ini kerana keadaan mayatnya masih lagi panas ketika ditemukan dalam tong sampah tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan berkata bayi itu dipercayai dilahirkan di tempat lain sebelum dibuang di situ.

Katanya polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertututp (CCTV) yang terdapat di kawasan itu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat," katanya.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. -Bernama