Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
UEC: Selesaikan tanpa konflik antara kaum, kata Umno
Diterbitkan:  Feb 7, 2017 5:43 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

Isu pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) harus diselesaikan sebaik mungkin dan tidak sehingga menimbulkan konflik antara kaum, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata pihak berkepentingan perlu memberikan kerjasama bagi mengatasi isu berkenaan, manakala orang ramai pula tidak seharusnya memberikan persepsi negatif tanpa mendapat maklumat yang tepat.

"Apabila kita berkerjasama, kita tidak prejudis dan tidak berfikiran sempit, maka ia tidak akan menjadi 'stumbling block'.

"Dalam negara kita ini ia akan menjadi penghalang kalau kita bersifat negatif. Perbezaan kaum dan agama seharusnya dijadikan kekuatan kita.

"Jadi saya tidak fikir apa yang dilakukan Persatuan Dong Zong (untuk iktiraf UEC) sebagai suatu penghalang," katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan bersama wakil Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Pertemuan itu membincangkan mengenai isu-isu pendidikan sekolah Cina termasuk UEC.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini meminta Kementerian Pendidikan membuat kajian mendalam dan mengemukakan syor berhubung kedudukan UEC yang tidak diiktiraf di peringkat kebangsaan.

Sementara itu, Pengerusi Dong Zong Datuk Lau Lee Ming berharap kerajaan akan mengiktiraf sijil UEC setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk memudahkan pelajar melanjutkan pengajian ke universiti awam.

Lau turut memohon supaya pelajar sekolah Cina persendirian dibenarkan menduduki kertas peperiksaan Bahasa Melayu sahaja dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bukan keseluruhan mata pelajaran untuk mengiktiraf sijil UEC.

UEC dikendalikan kumpulan pendidikan Cina terkemuka dan Dong Zong di 60 sekolah menengah Cina di seluruh negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS